Rabu, 21 November 2012

Doa 'KO BN': Umno Kelantan buat laporan polis

SINAR HARIAN
Keratan Sinar Harian Isnin
Keratan Sinar Harian Isnin
 
KOTA BHARU - Umno Kelantan hari ini membuat dua laporan polis berhubung tindakan Pas membaca doa untuk menghancurkan Umno dan Barisan Nasional (BN) dan tuduhan bahawa Umno sebuah parti murtad.
  
Mereka meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Pas kerana menyifatkan segala kenyataan itu telah mengguris hati bangsa Melayu dan Islam di negara ini.
  
Ketua Wanita Umno Pengkalan Chepa, Zarina Md Eusoffe mengetuai kira-kira 30 anggota pergerakan itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu di sini.
  
Ketika ditemui, Zarina berkata, mereka mahu polis menyiasat perkara itu mengikut peruntukan undang-undang yang ada termasuk Akta Hasutan kerana menyifatkan doa berkenaan boleh menghasut umat Islam bertelagah sesama mereka.
  
"Hati kami tersentuh. Kami orang Melayu beragama Islam dan tuduhan ini sangat  melampau yang menyerlahkan sikap sebenar Pas dan Mursidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya.
  
Beliau meminta rakyat Kelantan terutamanya menilai siapa sebenarnya pemimpin Pas itu  yang ternyata mempunyai politik dendam terhadap Umno kerana sanggup mendoakan kehancuran dan menuduh Umno murtad.
  
Di IPD yang sama, Majlis Veteran Umno Kelantan turut membuat laporan serupa, diketuai Pengerusi Biro Ulama Majlis Veteran itu, Mohd Noor Deris.
  
Mohd Noor berkata tuduhan murtad oleh Nik Aziz itu itu disifatkan sebagai melampau dan meminta Sultan Kelantan campur tangan.
  
"Kami juga memohon perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V agar dapat segera mengubat perkara yang memudaratkan umat Islam di negeri ini," katanya.
  
Mohd Noor juga meminta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan menyuarakan pandangan mereka menurut nas-nas Islam berhubung perkara itu dan mengajak pemimpin Pas termasuk Nik Aziz bermuzakarah.
  
Pada Jumaat lepas, Pas mengadakan solat hajat dan berdoa supaya Umno hancur yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV dengan dipimpin adik Menteri Besar, Nik Razi Nik Mat, sempena Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-58.
  
Pada Ahad, Nik Abdul Aziz mengundang kontroversi apabila mendakwa Umno murtad kerana memperlekeh dan menolak Islam. - Bernama

Tiada ulasan: