Jumaat, 2 November 2012

DHPP: PAS beri ruang kaum India bersuara

Mohd Sabri Said,
 
PERMATANG PAUH: PAS tidak pernah menyisihkan kaum India sejak dahulu malah memberikan mereka bersuara melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang diiktiraf duduk sama rata dengan dewan-dewan dalam PAS.
Demikian kata Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Datuk Saleh Man ketika berucap pada majlis sempena sambutan Deepavali 2012 di Pasar Awam, Penanti, Bukit Mertajam semalam.

PAS katanya, memberikan hak bersuara dan kaum lain boleh mengemukakan pandangan untuk mengukuhkan PAS sebagai salah sebuah parti gabungan dalam Pakatan Rakyat.

"PAS tetap mementingkan suara dan pandangan kaum India dan lain kaum dalam negara ini.  Justeru itu PAS menubuhkan DHPP supaya kehendak kaum lain juga akan diambil kira dalam pembangunan negara," tegasnya lagi.

Maka, ujarnya menjadi tanggungjawab kaum India untuk meneruskan sokongan kepada Pakatan Rakyat kerana dengan cara itu sahaja dapat menyelamatkan kaum India daripada dianaktirikan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sepertimana janji Pakatan Rakyat sambungnya, kaum India yang miskin tetap dipelihara dengan sistem demokrasi dan menentang individu India yang rakus dan mementingkan diri sendiri.

Jelasnya, apabila PAS berjaya mewujudkan DHPP, Umnolah parti pertama yang bimbang pengaruh mereka merosot sekaligus menyukarkan bertahan di kerusi yang ditandingi calon MIC.

"DHPP memang digeruni oleh Umno maka BN sedang mencari kaedah yang membolehkan perpecahan dalaman dengan mempergunakan individu yang kecewa terhadap kebangkitan PAS," ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir.

Tiada ulasan: