Khamis, 8 November 2012

#DemiRakyat strategi terbaru PKR hadapi PRU13

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

Laman sesawang demirakyat.my
Laman sesawang demirakyat.my
 
PETALING JAYA - PKR, parti komponen Pakatan Rakyat, hari ini meneruskan strategi terbaru menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) selepas melancarkan kempen poster dan papan iklan minggu lalu.

Kempen terbaru menerusi www.demirakyat.my dapat diakses di Internet hari ini.

Membawa mesej bahawa Malaysia memerlukan perubahan, terdapat sebuah video yang memaparkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia berganding bahu bagi mengubah hala tuju negara bersama Pakatan Rakyat.

Mengakui bahawa pilihan raya kali ini adalah pilihan raya paling "getir", Anwar menggesa rakyat Malaysia bangkit dan bersatu dalam memastikan tampuk pemerintahan bertukar demi kehidupan rakyat yang lebih baik.

"Dalam pilihan raya kali ini, saya percaya, rakyat harus bangkit untuk menentukan arah tuju pembangunan masa depan di dalam Malaysia yang tercinta.

"Rakyat Malaysia dalam negara, rakyat Malaysia yang berada di luar negara, kita boleh mematahkan hujah-hujah jelek yang memecahbelahkan perpaduan kita dengan mengembeling seluruh kekuatan, Melayu,China, India, Dayak, Kadazan dan yang lain dalam satu pasukan yang utuh untuk menuntut hak kita," kata Anwar.

Laman web PKR ini turut memuatkan butang sokong, kongsi dan derma yang membolehkan pengunjungnya menyumbang demi kempen PKR.

Antara kandungan lain laman web ini menyatakan betapa penting perubahan sejati yang didorong oleh rakyat.

"Hanya parti politik yang dijana rakyat akan bertanggungjawab kepada rakyat. PKR menyeru semua rakyat Malaysia tanpa mengira latarbelakang untuk bersama-sama membantu kami menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur untuk semua.

"Jika anda percaya Malaysia memerlukan perubahan, sokonglah kempen ini. Sekadar menekan klik sudah cukup untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk turut serta. Inilah langkah bertindak yang pertama," tulis laman itu.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR turut menyeru rakyat menyokong kempen mereka.

"Dan dalam ini saya mengulangi gesaan saya supaya rakan-rakan bersama berdaftar dalam demi rakyat, bekerja sebagai sukarelawan dengan apa jua cara pun kerana perlawanan ini, pertembungan ini getir dan memerlukan kesedaran rakyat yang menyeluruh dan kebangkitan rakyat yang menyeluruh.

"Saya oleh yang demikian ingin menggesa memastikan kemenangan dengan usaha yang maksimum dan memohon doa kepada ALLAH S.W.T," katanya.

Tiada ulasan: