Isnin, 26 November 2012

Dana RM7 juta naik taraf gerai penjaja, peniaga kecil

SINAR HARIAN

Dana RM7 juta naik taraf gerai penjaja, peniaga kecil
Ismail Sabri Yaakob (tengah) mendukung Ihsan Danial Anuar, 6, ketika berarak pada Program Khatan Perdana Peringkat Parlimen Bera 2012 hari ini. - Foto Bernama
 
BERA - Kerajaan memperuntukkan RM7 juta bagi menjayakan program tranformasi penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
  
Beliau berkata, program itu membabitkan kerja pembersihan dan menaik taraf gerai yang dibina oleh peniaga sendiri di kawasan majlis perbandaran dan majlis-majlis daerah.
  
"Peruntukan itu bagaimanapun tidak termasuk gerai-gerai yang dibina oleh Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah kerana gerai tersebut dibersihkan oleh pihak berkenaan secara berjadual," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Berkhatan Perdana Peringkat Perlimen Bera 2012 anjuran Biro Pendidikan Umno Bahagian Bera di Kompleks Rakan Muda di sini, hari ini.
  
Ismail Sabri berkata kerja membersih dan menaik taraf gerai telah dimulakan di kawasan terpilih sekitar Kuala Lumpur dan akan diteruskan di seluruh negara bagi memastikan kebersihan gerai-gerai berkenaan.
  
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan penghargaan kepada Bank Rakyat yang menyumbang RM30,000 bagi program berkhatan itu yang membabitkan 200 kanak-kanak termasuk 30 anak Orang Asli.
  
Turut hadir Pengarah Urusan Bank Rakyat Datuk Yusof Abdul Rahman. - Bernama

Tiada ulasan: