Khamis, 15 November 2012

AMK lancar kempen ‘Sumpah Rakyat Kembalikan Hak Rakyat’

Oleh Aisha Geoffrey
PETALING JAYA: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) hari ini melancarkan kempen ‘Sumpah Rakyat Kembalikan Hak Rakyat’ dalam usaha menyedarkan rakyat tentang penyelewengan wang yang dilakukan pemimpin Umno.

Kempen yang akan menjelajah ke seluruh negara itu dijadual bermula esok di Sabah dan menyelusuri segenap negeri itu selama lima hari.

“Kita mula di Sabah sebab negeri itu mengalami isu penyelewengan wang terbesar membabitkan RM40 juta oleh Ketua Menterinya, Datuk Seri Musa Aman,” kata Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin pada sidang media selepas majlis pelancaran kempen, di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini petang tadi.



Kempen tersebut dilancarkan Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir, Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Shamsul, seramai 70 jentera AMK termasuk 20 dari Semenanjung akan menggembeling tenaga menjayakan kempen tersebut.

“Selain ceramah, 100,000 naskhah risalah khas telah kita cetak, dan di setiap perhentian akan ada Ketua Cabang buat laporan polis berhubung penyelewengan itu,” jelasnya.

“Kita harap kesedaran rakyat Sabah tentang pentingnya mereka lakukan perubahan. Dengan terjadinya kerugian wang rakyat sebegitu banyak, perlu ada kempen bersepadu agar mesej ini sampai ke peringkat akar umbi,” sambung Shamsul.

Menurutnya lagi, sebuah trak Chevrolet Colorado disediakan khas sebagai simbolik kepada kempen yang dijadual akan menjelajah Sarawak dan Semenanjung selepas ini.



Terdahulu, Wan Azizah, Anwar, Shamsul dan beberapa anggota AMK bergambar bersama trak tersebut yang bertulis ‘Sumpah Rakyat Tuntut Hak’ dan ‘Ini Kalilah Sabah’.

Wan Azizah dan Shamsul turut menaiki trak sebagai simbolik pelancaran kempen ‘Sumpah Rakyat Kembalikan Hak Rakyat’.

Tiada ulasan: