Khamis, 27 September 2012

BN pengaruhi keputusan pilihan raya kampus

 
Nurul dedahkan kaedah yang digunakan kerajaan untuk memastikan kemenangan kumpulan pro-Aspirasi.



PETALING JAYA: Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menuduh kerajaan BN menggunakan kaedah-kaedah kotor melalui satu operasi untuk memastikan kemenangan kumpulan Pro-Aspirasi di dalam pilihanraya kampus di 11 daripada 15 institusi pengajian tinggi awam.

“Projek Ops2020, yang didedahkan di dalam Parlimen sesi yang lalu terbukti dirangka untuk memenangkan calon-calon kampus yang pro-kerajaan.

“Projek ini telah memberikan laluan kepada anasir-anasir luar yang didalangi pihak tertentu untuk terus menyekat perjalanan pilihanraya kampus yang bersih, adil dan telus,” kata Nurul yang juga ialah naib presiden PKR dalam satu kenyataan media semalam.

Kelmarin kumpulan pro-Aspirasi yang berpihak kepada BN menewaskan kumpulan pro-Mahasiswa di kebanyakan universiti tempatan.

Di Universiti Islam Antarabangsa, keputusan terpaksa ditangguhkan kerana masalah dalam sistem e-undi.
Nurul turut mengecam insiden serangan pengerusi pro-Mahasiswa oleh lima orang samseng.

“Budaya ini wajib dikecam dan segera ditangani oleh pihak berwajib,” katanya.

Persoal keberkesanan e-undi

Selain itu Nurul turut menyoal keberkesanan sistem e-undi yang dilaksanakan sejak 2009 yang ditentang mahasiswa.

Justeru itu, beliau mencadangkan audit dibuat terhadap sistem e-undi.

“Tiadanya audit ke atas sistem e-undi tersebut, dikeruhkan dengan perjalanan pilihan raya kampus yang tidak dipantau oleh pihak yang tidak berkepentingan,” kata Nurul.

Persoalan berikut  ditimbulkan beliau berkaitan sistem e-undi:

“Adakah undi rahsia? Sejauh manakah keselamatan data yang bergerak dalam rangkaian? Apakah yang perlu diambilkira dalam pelaksanaan sistem e-undi untuk memastikan telus dan tidak boleh dimanipulasi?”

Untuk mengatasi masalah berkaitan pilihan raya kampus, beliau mencadangkan agar Kementerian Pengajian Tinggi  melaksanakan sistem undian manual.

“PKR menggesa supaya Kementerian Pengajian Tinggi melaksanakan sistem undian manual sehinggalah satu badan bebas khas diwujudkan untuk menyiasat dan menyelesaikan kemelut yang berlaku, termasuklah pelaksanaan audit bebas terhadap sistem e-undi,” kata Nurul.

Tiada ulasan: