Sabtu, 14 April 2012

Isu YB di pusat hiburan, Ali tertinggal bas

MALAYSIA CHRONICLE


MELAKA, - PAS Melaka menyifatkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam tertinggal bas dan kurang bermaklumat mengenai isu seorang wakil rakyat Umno yang diperiksa di dalam pusat hiburan di Melaka Raya, baru-baru ini.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek, Ketua Menteri Melaka perlu merujuk kepada laporan akhbar Sinar Harian dan Sin Chew Jit Poh bertarikh 25 Mac 2012 berkenaan isu seorang wakil rakyat turut diperiksa di sebuah pusat hiburan jam 2.40 pagi.

"Dua buktinya iaitu akhbar Sinar Harian dan Sin Chew Jit Poh menyatakan wakil rakyat daripada Jasin, asasnya ada dan saya harap polis maklumkan kepada Ketua Menteri bahawa ada wakil rakyat dalam serbuan itu.

"Kalau rujuk laporan media itu YB BN kena nafikan kerana YB pembangkang tak terlibat sebab kalau ada mesti media perdana melaporkannya secara terperinci, isu ini isu moral," ujarnya.

Beliau turut meminta polis membuat kenyataan berhubung isu ini kerana media secara jelas melaporkannya tetapi sebaliknya tiada laporan polis yang dibuat mengenai insiden tersebut.

"Kita cabar wakil rakyat terbabit atau BN saman dua akhbar ini sekiranya berita itu tak benar dan minta wakil rakyat dari Jasin iaitu empat daripada Umno termasuk seorang daripada MCA menafikannya.

"Kita juga minta wakil rakyat terbabit meletak jawatan sebagai pengajaran kepada semua wakil rakyat agar bertanggungjawab terhadap amanah yang diletakkan pada mereka bukannya mengambil kesempatan berpoya-poya dalam pusat hiburan," katanya.

Serbuan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri menerusi Ops Tapis di pusat hiburan itu turut memeriksa seorang wakil rakyat yang juga merupakan pelanggan di situ dan berjaya menahan 12 orang yang didapati positif dadah (AMP).--Harakahdaily

Tiada ulasan: