Sabtu, 14 April 2012

Biasiswa Karangkraf RM1 juta biaya penuntut UMTech

NORHASPIDA YATIM

RM1j biaya penuntut UMTech

PETALING JAYA - Kumpulan Media Karangkraf memperuntukkan dana Biasiswa Karangkraf sebanyak RM1 juta bagi membiayai pengajian penuntut University Management & Technology (UMTech) dalam tempoh setahun.

Sebagai menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kumpulan berkenaan, dana RM1 juta itu diserahkan melalui satu majlis perjanjian persefahaman (MoU) antara syarikat penerbitan majalah dan akhbar terbesar itu bersama UMTech.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, Karangkraf berbangga kerana UMTech sedia bekerjasama dan merealisasikan tanggungjawab sosial syarikat itu.

“Kami cuba sedaya upaya untuk membantu memberikan ruang kepada masyarakat, terutama pendidikan dan mahu melihat sekurang-kurangnya antara 50 hingga 100 penuntut diberi peluang melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi.

“Kami di Karangkraf menyediakan banyak program CSR di bawah program Karangkraf Peduli yang terdapat lima teras antaranya Karangkraf Peduli Jujur, Karangkraf Peduli Alam, Karangkraf Peduli Muafakat, Karangkraf Peduli Duafa dan Karangkraf Peduli Iqra,” katanya ketika berucap pada majlis MoU di Leisure Commerce Square, semalam.

Turut hadir, Naib Canselor UMTech, Prof Dr Abdul Razak Habib; Timbalan Naib Canselor, Prof Madya Datin Dr Raja Hanaliza Raja Ahmad Tajudin; Penasihat Eksekutif Editorial Karangkraf, Datuk Abd Jalil Ali; Pengurus Besar Jabatan Sumber Manusia Karangkraf, Mohd Nazri Mohd Noor dan Pengurus Akademi Karangkraf, Azam Aris.

Hussamuddin berkata, beliau berharap, lebih banyak program dapat dilaksana bersama UMTech selepas ini.

Sementara itu, Prof Dr Abdul Razak Habib berkata, UMTech amat berbesar hati kesudian Karangkraf bertemu dan memeterai perjanjian itu.

“Kita akan bekerjasama memberi latihan kepada pekerja Karangkraf sama ada menjadi penuntut separuh masa atau sepenuh masa.

“Kerjasama ini bukan terhenti setakat ini, harapnya ia berpanjangan,” katanya.

Tiada ulasan: