Sabtu, 14 April 2012

PRU13 hujung tahun, bukan Jun?

G MANIMARAN

LOGO PARLIMEN

AWAL bulan lalu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar antara lain berkata, jika hendak membubarkan adalah lebih baik dibubarkan hanya selepas istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 selesai. Istiadat disempurnakan Rabu lalu.

Minggu depan undang-undang yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dibahaskan oleh Dewan Rakyat. Ia akan disusuli pindaan membabitkan Akta Universiti dan Kolej Universiti. Ia sebahagian daripada pelan transformasi politik dijanjikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Melihat kepada faktor-faktor itu, dan mengambil kira beberapa pertimbangan lain, setakat minggu lalu, ramai membuat spekulasi bahawa Najib, selaku Perdana Menteri dan Pengerusi BN akan membubarkan Parlimen akhir bulan depan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 dipanggil menjelang pertengahan bulan Jun. Dalam tulisan pertama pun, penulis memetik cakap-cakap di luar dengan mengetengahkan minggu pertama atau kedua sebagai tarikh pengundian PRU13.

Sidang Dewan Negara akan berakhir pada minggu kedua bulan depan.

Sementara ramai berteka-teki Jun sebagai bulan yang 'paling sesuai', penulis kini mendengar cerita terbaru. Ini yang dikatakan 'demam tarikh pilihan raya'.

Tak habis-habis kitaran spekulasi ini.

Rakan-rakan media dan beberapa penganalisis - sepenuh masa dan sambilan - memberi ramalan baru mereka.

Andaian dan ramalan kesemua mereka seiring.

Kata mereka, kepimpinan BN sedang mempertimbangkan tempoh enam bulan lagi untuk memanggil PRU13.

Malah kata mereka, walaupun keadaan nampak tenang dan selesa, tetapi Najib mahu masa lagi untuk benar-benar selesa dan yakin sebelum boleh membubarkan Parlimen.

Mereka mengandaikan Najib dan BN tidak seratus peratus yakin dengan situasi semasa walaupun Najib dan timbalannya kerapkali turun padang, bertemu rakyat.

Awal bulan lalu, menjelang pembukaan sesi Parlimen yang berlangsung sekarang, beberapa pemimpin kanan Pakatan Rakyat memberitahu penulis bahawa mereka tidak akan terkejut jika Parlimen terus bersidang - pada Julai ini (selama dua minggu) dan kemudian menuju ke arah sesi Bajet 2013, pada Oktober-Disember ini.

Mandat semasa tinggal setahun lalu.

Oleh itu, ada yang mengatakan Najib kemungkinan akan menggunakan keseluruhan tempoh mandat sebelum memutuskan untuk membubarkan Parlimen.

Laporan PSC Berhubung Penambahbaikan Pilihan Raya, yang diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini, mengesyorkan pilihan raya umum masa depan hanya diadakan selepas tahun keempat tempoh mandat.

Apa pun andaian dan ramalan, Najib mempunyai kata putus, selain menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Jika tidak bulan Jun, spekulasi akan berterusan. Teka-teki tarikh PRU13 akan masuk kitaran baru. Kita tenggelam dalam ramalan. Pening!

Tiada ulasan: