Ahad, 1 April 2012

15 Tahun MPS: MB Gembira Pencapaian




SELAYANG: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melahirkan rasa gembira terhadap pencapaian 15 tahun Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

Selain mengucapkan tahniah kepada warga MPS, menurut Khalid, rekod pentadbiran selama 15 tahun MPS telah membuktikan iltizam yang amat tinggi MPS meningkatkan kualiti perkhidmatan di Selayang.

“MPS juga menunjukkan iltizam untuk meningkatan mutu penyampaian perkhidmatan awam melalui aktiviti-aktiviti kualiti yang diamalkan.

“Antaranya, penubuhan jawatankuasa kualiti peringkat jabatan, aktiviti kumpulan inovatif dan kreatif, perlaksanaan ISO 9001:2008 dan penyediaan pelan startegik 2011-2015.

“Dalam hal ISO saya difahamkan MPS sudah pun mendokumenkan sebanyak 31 skop utama yang hampir kesemuanya meliputi keseluruhan aktiviti kerja MPS.

“Saya gembira kerana usaha tersebut melambangkan semangat kakitangannya untuk melaksanakan tugas mengikut standard yang diiktiraf,”katanya ketika berucapap dalam Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Ulangtahun ke-15 MPS di Ideal Convention Centre, Taman Prima Selayang malam tadi.

Sepanjang 15 tahun majlis perbandaran itu ditubuhkan, ia turut berjaya meningkatkan jumlah pegangannya (holdings).

“Daripada stastistik yang ditunjukkan, sepanjang 15 tahun MPS berjaya mencatatkan kenaikan jumlah pegangan.

“Pada 1997, jumlah pegangan berjumlah 65,581 dan meningkat ke 182,570 pegangan pada awal 2012, iaitu pertambahan sebanyak 178 peratus,” kata beliau lagi.

Ketika mengingatkan matlamat utama untuk meningkatkan usaha memberi bantuan kepada masyarakat, beliau turut membidas sesetengah pihak yang hanya mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan dan menyalahkan pihak lain.

“Pihak swasta pula hanya hanya memikirkan keuntungan semata-mata manakala pihak NGO pula hanya pandai menunding jari menyalahkan pihak lain.

“Ingatlah, matalamat utama kita adalah untuk memberi bantuan dan kebajikan kepada rakyat tanpa mengira perbezaan kaum, agama mahupun dukungan politik,” ujarnya.

Demi meningkatkan mutu perkhidmatannya, MPS turut mengambil beberapa langkah proaktif agar lebih memudahkan masyarakat berurusan dengan majlis perbandaran itu.

“Saya gembira kerana MPS berusaha gigih memberi kemudahan khususnya kepada orang ramai yang berurusan dengan MPS.

“Antaranya menerusi di pejabat tiga cawangannya, kemudahan bayaran secara online, penyediaan kaunter bergerak dan kaunter pandu masuk,” katanya lagi.


Sementara itu, Yang Dipertua MPS, Dato’ Zainal Abidin A’ala turut mengucapkan tahniah kepada warga MPS yang mendapat pengiktirafan empat bintang untuk penilaian Sistem STAR Rating (SSR) baru-baru ini.

“Dan yang terbaru ialah MPS telah mendapat anugerah empat bintang untuk penilaian SSR tahun 2010/2011 yang dibuat oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Sukacita dimaklumkan MPS termasuk di kalangan 21 PBT di seluruh negara yang memperoleh empat bintang.

“Ini adalah merupakan peningkatan di mana penilaian SSR pada 2008, MPS hanya mendapat tiga bintang. Tahniah kepada semua warga MPS,” ujarnya.

Malam tadi MPS telah mengadakan majlis makan malam sempena Sambutan ulang tahun ke-15 dan Pelancaran Pelan Startegik 2011-2015 di Ideal Convention Centre, Selayang.

Di samping kehadiran kira-kira 800 warga kerja MPS dalam majlis penuh gemilang itu, turut sama ialah Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu dan Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong.

Selain ucapan MB Selangor dan YDP Selayang, majlis itu turut dimeriahkan dengan pertandingan Akhir ‘Pop Yeh Yeh’ MPS Idol 2012 dan artis jemputan, Angah Raja Lawak dan Mie Raja Lawak.

Tiada ulasan: