Khamis, 2 Februari 2012

Saham Lynas melonjak selepas k'jaan beri lesen


MALAYSIA KINI

Harga saham syarikat perlombongan Australia, Lynas melonjak hari ini selepas Malaysia memberikan lampu hijau kepada pusat pemprosesan nadir bumi itu meneruskan operasinya meskipun timbul kebimbangan kemungkinan berlakunya pencemaran sisa radioaktif.

Loji yang hampir siap dibina di Gebeng, Kuantan itu akan menjadi antara kilang di luar dari China yang mampu memproses nadir bumi - galian yang digunakan dalam peralatan berteknologi tinggi seperti peluru berpandu dan telefon bimbit.

Lembaga Pelesenan Tenaga Atom Malaysia semalam mengumumkan lesen sementara untuk pusat itu mengendalikan operasinya bagi tempoh permulaan selama dua tahun tetapi berdasarkan syarat-syarat yang ketat.

Lembaga itu juga mengingatkan bahawa lesen berkenaan boleh digantung atau dibatalkan jika Lynas gagal mematuhi syarat-syarat pengendalian sisa radioaktif berbahaya yang lazimnya wujud dalam nadir bumi.

Saham Lynas hari ini melonjak hampir 20 peratus apabila didagangkan pagi ini pada harga A$1.60.

"Lynas mengiktiraf tanggungjawabnya kepada masyarakat untuk mengendalikan loji itu dengan cara yang selamat dan mampan," kata pengerusi eksekutif syarikat Nicholas Curtis ketika mengalu-alukan kelulusan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia itu. AFP

Tiada ulasan: