Sabtu, 25 Februari 2012

Roboh kuil: Apa pendirian k’jaan S’gor?

Kuil Sri Maha Mariamman di Taman Kota Warisan, Dengkil dirobohkan tanpa kelulusan.



PETALING JAYA: Pemuda MIC Kebangsaan hari ini menyoal bagaimana kuil Sri Maha Mariamman di Taman Kota Warisan, Dengkil dirobohkan tanpa mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan mahupun kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat.

“Kami mahu tahu apa pendirian kerajaan negeri berkenaan perkara ini sedangkan mereka telah berjanji kuil Hindu tidak akan dirobohkan,” kata kKetuanya T Mohan ketika dihubungi sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kes perobohan kuil tersebut yang dilakukan oleh pemaju perumahan Gema Padu Sdn Bhd pada hari Selasa.

Sementara itu, Ketua Pemuda MIC Selangor A Shanker pula mendakwa: “Pihak pemaju perumahan tersebut tidak memberi kata-kata yang jelas berkenaan perkara ini.

“Pihak kuil juga tidak menerima apa-apa notis seolah-olah mereka turut bekerjasama dengan pihak tertentu dan kepentingan masyarakat dipinggirkan.”

Projek perumahan

Shanker menyatakan dalam satu kenyataan media bahawa pemaju perumahan yang juga pemilik tanah tersebut mendakwa bahawa projek perumahan yang dibangunkan tidak mendapat sijil kelayakan kerana wujudnya kuil ini.


“Exco kerajaan negeri Dr Xavier Jayakumar turut hadir ketika itu. Justeru itu persoalan saya adakah pemilik tanah ini memiliki tanah ini sebelum kuil ini didirikan?,” soal Mohan.

Menurut beliau kelulusan pihak berkuasa tempatan atau notis perobohan dari mahkamah perlu diperolehi sebelum perobohan dilakukan.

Dalam kes ini, Mohan percaya bahawa tindakan perobohan ini adalah hasil kerjasama pihak kerajaan negeri dengan pemaju perumahan. Ini kerana pemberian sijil kelayakan adalah tanggungjawab kerajaan negeri.

Beliau menambah bahawa pemaju tersebut perlu disiasat di bawah Akta Hasutan kerana mewujudkan rasa ketidaktenteraman di kalangan penduduk beragama Hindu.

Sehubungan dengan itu, dua laporan polis telah dibuat terhadap pemaju tersebut di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi pada hari Selasa.

Struktur kuil masih kekal

Sementara itu, Dr Xavier ketika dihubungi menafikan bahawa keseluruhan kuil tersebut telah dirobohkan tetapi sebaliknya struktur kuil masih kekal di situ.

Beliau berkata, tindakan merobohkan kuil adalah keputusan syarikat Kota Warisan yang turut memiliki Gema Padu. Kerajaan negeri tidak akan berdiam sekiranya terdapat kes perobohan kuil.

“Saya telah meminta Gema Padu untuk membangunkan semula kuil tesebut,” tambah beliau.

Sehubungan dengan itu, satu mesyuarat telah diadakan di antara pihak pengurusan kuil, Gema Padu dan Majlis Perbandaran Sepang semalam.

“Pihak pengurusan kuil memberitahu bahawa mereka memerlukan RM20,000. Sekiranya semua bersetuju saya mahukan syarikat tersebut membangunkan kuil tersebut di kawasan tanah baru,” kata Dr Xavier.

Tiada ulasan: