Oleh SELENA TAY
DUA peristiwa pada musim Tahun Baru Cina 2012 telah menonjolkan satu hakikat yang mesti diterima oleh MCA dan BN iaitu kaum Cina akan menolak BN dalam pilihan raya umum ke- 13 (PRU13) ini:
Peristiwa pertama, pemberian angpaw putih di rumah terbuka yang dianjurkan oleh Perkasa dengan bantuan MCA untuk menjayakannya di Kampung Baru; dan yang kedua peristiwa Perarakan Hitam pada 1 Februari 2012 oleh pemilik hartan a h di Jalan Sultan, Chinatown, KL.
Dalam peristiwa angpaw putih, MCA telah dikutuk dan direjam batu oleh kaum Cina sebab seorang pengerusi cawangan (MCA branch chairman) yang bernama Dr Collin Tiew telah menjadi penterjemah dalam majlis rumah terbuka tersebut.Selain itu, kaum Cina berasa amat marah dengan Presiden MCA, Chua Soi Lek yang telah membuat kenyataan bahawa beliau tidak akan melarang ahli-ahli MCA daripada menyertai aktiviti Perkasa. Kaum Cina juga geram dengan pemimpin MCA yang saban hari 'bercakap sampah-sarap' (kong lup sup dalam loghat Kantonis) sahaja dengan mengeluarkan terlalu banyak kenyataan yang serong terutamanya kenyataan mengenai PAS.
Biasanya politik Cina merangkumi permainan strategi atau perang saraf dan ramai orang Cina berpendapat bahawa angpaw putih itu bukan sahaja merupakan satu penghinaan tetapi juga satu amaran kepada orang Cina supaya jangan mengundi Pakatan Rakyat dalam PRU13 nanti.
Mungkin itu bukan maksudnya tetapi orang Cina membaca mesej angpaw putih itu sebegitu dan oleh itu mereka merasa amat marah terhadap MCA yang dilihat sebagai hambaabdi Umno.
Malah ramai orang Cina berpendapat MCA telah menjadi anjing Umno. Seorang pemuda Cina dalam komen di laman web telah berkata bahawa MCA telah dimasukkan ke dalam keranda dan hanya menunggu upacara pengkebumian sahaja, begitu marahnya orang Cina terhadap MCA atas peristiwa angpaw putih itu.
Peristiwa Perarakan Hitam pula telah diadakan oleh para pemilik hartanah untuk membantah langkah MRT Corp yang berhasrat membuat kerja-kerja pembinaan untuk stesen MRT di bawah tapak hartanah mereka di Jalan Sultan. Perarakan tersebut dilangsungkan dari Jalan Sultan ke Jalan Bukit Bintang yang juga terlibat dalam projek ini.
Pemilik hartanah tersebut yang memakai warna hitam sebagai tanda bantahan berkata mereka berasa risau dan gelisah terhadap kerja-kerja pembinaan itu yang akan menjejaskan kestabilan tapak (foundation) bangunan milik mereka sebab bangunan-bangunan di Jalan Sultan semuanya adalah bangunan yang lama (termasuk beberapa bangunan yang lebih 100 tahun lamanya).
Pada musim Tahun Baru Cina orang Cina pantang memakai warna hitam kecuali jika menghadiri upacara pengkebumian tetapi kesanggupan mereka memakai warna hitam menunjukkan bahawa mereka amat marah dengan apa yang bakal akan berlaku kepada hartanah mereka.
Selain daripada dua isu hangat itu, isu kematian Teoh Beng Hock juga telah membuat orang Cina amat marah terhadap kerajaan BN yang seolah-olah memandang remeh tentang isu kematian Teoh sebab tiada tindakan tegas diambil terhadap pegawai-pegawai SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia) yang telah menyoalsiasat Teoh.
Wajah putih mendiang Teoh di atas kemeja hitam telah memaparkan mendiang Teoh sebagai ikon pejuang keadilan untuk mewujudkan sebuah negara yang adil dan saksama.
Peristiwa rampasan kuasa di Perak juga akan timbul dalam minda pengundi Cina di Perak apabila tiba tarikh mengundi. Mereka tidak sabar hendak membuangkan BN ke dalam tong sampah.
Pengundi Cina tidak akan melupakan semua isu hangat yang melibatkan kaum Cina. Diharap pengundi Melayu juga akan mencontohi masyarakat Cina dan tidak akan melupakan isu lembu Fidlot apabila mengundi nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan