Sabtu, 11 Februari 2012

Pemuda PAS lapor polis terhadap Hasan Ali

Harakahdaily,



KUALA LUMPUR:
Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini membuat satu laporan polis terhadap Datuk Dr Hasan Mohd Ali ekoran kenyataan bekas exco Selangor itu yang didakwa boleh mencetuskan suasana tegang dan mengancam keselamatan negara.

Ianya merujuk kepada kenyataan Hasan ketika berceramah pada 31 Januari lalu di Padang Awam Seksyen 2, Bandar Baru Bangi yang dilaporkan berkata bahawa apabila Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk kuasa Putrajaya, DAP akan menggabungkan Malaysia dengan Singapura untuk menubuhkan sebuah negara republik.

Di samping itu, Hasan Ali yang dipecat keahlian dari PAS awal Januari lalu itu juga dilaporkan mendakwa bahawa DAP akan memansuhkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan menghapuskan elemen-elemen Islam di negara kita.

"Ucapan ini pada kita sangat bahaya dan boleh mengundang ketidakharmonian antara kaum.

"Ia juga satu kenyataan berniat jahat yang cuba menghasut masyarakat membenci PAS serta parti komponen lain dalam Pakatan Rakyat," kata Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Harakahdaily selepas selesai membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pagi tadi.

Turut serta dalam rombongan itu, exco Dewan Pemuda PAS Pusat termasuk Mohd Sany Hamzan dan Mohd Adram Musa.

"Kalau ianya tidak benar, dia (Hasan Ali) kena nafikan lah, namun sehingga hari ini belum ada sebarang penafian dari beliau.

"Jadi untuk permulaan kita serah kepada pihak berkuasa menyiasat perkara ini dan kita telah bersedia untuk mengambil tindakan lanjut selepas itu," kata Raja Ahmad.

Tiada ulasan: