KUALA LUMPUR — Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar), hari ini menggesa media tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu Naib Presiden parti Islam berkenaan, Salahudin Ayub, yang dikatakan bakal menjadi calon Menteri Besar Johor sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya menguasai Johor dalam pilihan raya akan datang.
Menurutnya lagi, PAS masih belum membuat keputusan muktamad berkenaan perkara itu dan nama Salahudin hanyalah disebut sebagai salah satu calon yang akan menjadi pemangkin PAS di Johor.
“PAS belum membuat keputusan muktamad tentang calon-calon yang akan bertanding dalam pilihanraya umum nanti. Oleh itu, sehingga kini belum putus lagi samaada Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, akan bertanding di Johor.
“Begitu juga soal siapa yang akan menjadi Menteri Besar Johor belum lagi dibincangkan di kalangan Pakatan Rakyat atau di peringkat pimpinan PAS Pusat,” jelas Mustafa dalam satu kenyataan yang dikeluarkan beliau.
Menurutnya lagi, PAS hanya berbincang soal strategi bagi memperkukuhkan parti komponen PR itu di Johor.
“Sehingga kini, kita hanya berbincang soal bagaimana mahu memperkuatkan PAS di Johor dalam pilihan raya umum akan datang dan nama Salahudin hanya disebut sebagai salah seorang calon untuk menjadi pemangkin PAS di Johor,” katanya.
Jelasnya lagi, soal siapa yang akan menjadi MB Johor hanya akan diputuskan setelah pilihan raya selesai dan PAS menguasai negeri berkenaan.
Laporan Sinar Online hari ini menyebut Salahuddin Ayub akan dilantik sebagai Menteri Besar Johor, sekiranya Pas menguasai negeri tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.
Dalam laporan tersebut, Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, berkata, “tuan punya badan” juga telah memberi lampu hijau bersetuju untuk memikul tanggungjawab tersebut.
“Pengalaman beliau di peringkat Pusat amat penting untuk membantu kemenangan parti ini memandangkan musuh kami, BN juga mempunyai tokoh hebat,” katanya.
Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa meletakkan Salahuddin bertanding di Johor sebagai usaha meminggirkan golongan ulama.
Namun nada berbeza diutarakan Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau, apabila beliau mengatakan isu bakal menteri besar tidak pernah dibincangkan di peringkat pimpinan pakatan di negeri itu.
Sehubungan itu, Mustafa menggesa pihak media tidak membuat sebarang spekulasi kerana perkara itu belum diputuskan di peringkat pusat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan