Khamis, 2 Februari 2012

Keluarga Teoh dapat kebenaran buat rayuan

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan keluarga mendiang Teoh Beng Hock untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Disember lalu yang menolak kebenaran membuat semakan kehakiman berhubung keputusan terbuka inkues kematian pembantu politik DAP itu.

"Keputusan sebulat suara. Kami benarkan permohonan bagi buat rayuan. Terdapat hujah undang-undang untuk meneruskan kes lagi," kata Hakim Sulaiman Daud yang mengetuai panel tiga hakim.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada anggota exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah, dijumpai mati di ruang tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, Selangor, pada 16 Julai 2009, selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Pada 21 Julai tahun lepas satu suruhanjaya siasatan diraja diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen telah menetapkan bahawa kematian Teoh akibat membunuh diri.

Sebelum itu pada 5 Januari, koroner Azmil Muntapha Abas memutuskan kematian Teoh bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga
terlibat dalam kematian Teoh.

Tiada ulasan: