Isnin, 20 Februari 2012

Jeti Batang Nibung, Destinasi Pelancongan Bertaraf Antarabangsa

Dr Azman Ibrahim

Walaupun Jeti Merang sudah beroperasi hampir 20 tahun dan menjadi pintu masuk utama pelancong dari dalam dan luar negara ke Pulau Redang, tiada usaha dilakukan pihak berkuasa, terutama Kementerian Pelancongan untuk membina jeti baru, walaupun pengambilan balik tanah dilaksanakan kerajaan negeri lebih 12 tahun lalu.

Maklumat ini yang disampaikan ketika dialog antara Lujnah Pengguna dan Alam Sekitar Terengganu bersama masyarakat Merang malam semalam memaklumkan, ratusan pelancong terutama dari luar negara dan mencecah angka ribuan sehari terutamanya pada musim cuti, menggunakan jeti yang dibina sendiri pemilik dan pengusaha bot pelancongan untuk ke Pulau Redang itu.

Tinjauan Lujnah Pengguna dan Alam Sekitar Negeri semalam (19 Februari 2012) mendapati ada antara jeti diperbuat daripada batang nibung, kayu dan papan lapis berlubang dan reput. Jika tidak berhati-hati ketika meniti untuk naik atau turun bot boleh membahayakan keselamatan pelancong. Gerai jualan kraf tangan di kawasan itu juga tidak tersusun, sekali gus tidak mencerminkan imej tinggi sektor pelancongan negeri ini dan Pulau Redang sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

Kewujudan Jeti Merang yang sepatutnya memberi kesan limpahan ekonomi kepada penduduk sekitar, bagaimanapun tidak menjadi kerana kawasan itu sepi seperti jeti pada zaman era sebelum merdeka, selain tiada kemudahan asas dibina termasuk gerai niaga sedangkan ia berpotensi menjadi destinasi santai untuk orang ramai.

Pengusaha bot pelancong Nasuha Muhammad berkata, jeti kayu bagi memudahkan pelancong menaiki bot ke Pulau Redang dibina sendiri pengusaha bot pelancong membabitkan perbelanjaan antara RM5,000 hingga RM10,000.

Katanya, jeti diperbuat daripada batang nibung, kayu dan papan lapis itu bukan saja digunakan pelancong dalam dan luar negara, malah kadang-kadang turut digunakan pemimpin utama termasuk pegawai Kementerian Pelancongan untuk menaiki bot ke pulau peranginan itu.

Nasuha memaklumkan "Kesemua pengusaha bot pelancong mencari rezeki dengan menawarkan perkhidmatan bot laju untuk ke pulau peranginan itu adalah bumiputera, tetapi keadaan jeti uzur cukup memalukan mereka.
"Kita difahamkan, peruntukan pembinaan jeti baru dan ruang niaga sudah diluluskan Kementerian Pelancongan lebih 10 tahun lalu, tetapi sehingga kini tiada tanda pembinaan jeti dilaksanakan." Katanya lagi, “Saya sendiri telah kehilangan sebuah bot yang rosak akibat tenggelam dipukul ombak ketika terdampar pada beting pasir di muara sungai disebabkan masalah muara cetek.”

"Kita mendesak dan meminta kerajaan Pusat, terutama Kementerian Pelancongan mempercepatkan pembinaan jeti dan ruang niaga bagi memastikan saranan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, yang mahu menjadikan sektor pelancongan sebagai pendapatan utama negeri ini menjadi kenyataan," katanya.

"Difahamkan, kerajaan negeri sudah membuat persiapan termasuk pengambilan balik tanah lebih lima tahun lalu bagi memudahkan Kementerian Pelancongan membina jeti dan ruang niaga, tetapi tidak tahu apa puncanya menyebabkan projek pembinaan jeti belum dilaksanakan hingga kini," katanya.

Jeti, benteng pemecah ombak Pantai Merang tidak berfungsi

Sementara itu, rata-rata penduduk yang ditemui menyatakan, penggunaan jeti usang ini adalah satu-satunya alternatif yang ada disebabkan jeti dan benteng pemecah ombak yang dibina kira-kira dua kilometer dari jeti yang digunakan sekarang di Muara Sungai Merang, gagal untuk berfungsi dan terbiar sekarang.
Pemecah ombak dan jeti terbiar

Salah siapa. Sama ada faktor alam, kesilapan reka bentuk atau tiada kajian mendalam menyebabkan jeti dan benteng pemecah ombak di Pantai Merang di sini, kini tinggal menjadi 'tugu' kerana tidak dapat digunakan sepenuhnya.

Jeti dan benteng pemecah ombak yang dibina menggunakan kepakaran luar negara membabitkan kos RM22 juta itu pada asalnya dibina bertujuan memudahkan pengusaha bot pelancong melabuhkan bot untuk mengambil dan menurunkan penumpang dari Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah.

Prasarana yang sudah menjadi gajah putih itu dibina pada 1996 dan hanya sempat digunakan empat tahun, dan masalah yang merugikan pelaburan kerajaan itu dipercayai disebabkan tiada kajian secara terperinci mengenai keadaan pasang surut air, arus dan pembentukan beting pasir semula jadi di kawasan itu.

Akibatnya, pelaburan besar yang boleh digunakan untuk membeli hampir 500 unit rumah kos rendah itu, terbiar bersama beberapa kemudahan lain yang dibina termasuk jalan masuk, gerai dan perhentian bas yang hanya dapat digunakan dalam tempoh empat tahun saja.

Beberapa penduduk dan pengusaha bot pelancong yang menyuarakan kekecewaan mereka ketika program dialog itu menyatakan,
"Kami sudah menyuarakan kebimbangan kami berkaitan dengan rekabentuk banteng pemecah ombak ini kepada syarikat yang diberi tanggungjawab membina benteng pemecah ombak sekitar tahun 1994, tetapi mereka menolak kebimbangan kami, malah sebaliknya mendakwa pembinaan berkenaan apabila siap mampu menyelesaikan masalah muara cetek.”

"Kita hanya sempat menggunakan jeti itu untuk menghantar dan mengambil pelancong ke Pulau Redang selama empat tahun saja, selepas itu terpaksa ditinggalkan kerana muara cetek hinggakan terus menjadi pantai sekarang,” kata mereka.

Selain daripada masalah jeti terbiar sehingga jeti using terpaksa digunakan, masalah muara cetek yang dihadapi pengusaha bot pelancong masih tidak berkesudahan menyebabkan kesukaran perjalanan keluar masuk bot .

Lebih mendukacitakan, tegas penduduk lagi, apabila prasarana yang melibatkan puluhan juta ringgit perbelanjaan wang rakyat akhirnya kini menjadi lokasi kumpulan tidak bertanggungjawab membuat maksiat.

(*) Dr Azman Ibrahim Pegerusi Lujnah Pengguna dan Alam sekitar PAS Terengganu

Tiada ulasan: