Selasa, 7 Februari 2012

Gerakan Pelajar: Cebisan sejarah yang hilang

Adam Adli


Hampir sahaja saya melintasi tarikh akhir untuk menghantar artikel bagi minggu ini. Sedikit sukar kerana akses internet dan komputer yang terhad. Memasuki bulan ketiga selepas 17 Disember 2011, saya masih belum mampu untuk menjalani kehidupan seperti biasa. Masih menumpang dan tiada aturan hidup yang tetap. Apa lagi kemudahan yang boleh membantu gerak kerja seperti internet dan komputer.

Apabila mengenangkan keadaan dan situasi harian saya hari ini, acapkali saya mengelamun dan terfikir; bagaimana agaknya kondisi hidup orang-orang yang lebih dahulu terjun dan bergelut dalam dunia yang sedang cuba ditembusi saya dan rakan-rakan hari ini. Jika hari ini maklumat semuanya di hujung jari; mereka dahulu bagaimana? Bagaimana agaknya gerakan massa golongan pelajar era 1960-an dan 1970-an dahulu disusun? Bagaimana agaknya perang media dan sebaran maklumat digerakkan bagi meraih sokongan pelbagai pihak? Bagaimana pula mereka berhadapan dengan ancaman dan tekanan dari pihak yang ditentang mereka; yang jelas mempunyai ratusan kali kekuatan dan jentera berbanding mereka yang digambarkan hanya bersenjatakan buku, pensel, dan idealisma?

Bagaimana pula dengan gerakan pelajar yang jauh lebih awal dahulu; di zaman kegemilangan kampus saya hari ini: SITC? Tentu sekali cabarannya lebih besar dan berat dari yang dihadapi kami hari ini dan generasi terdahulu sebelum kami.

Tidak berapa lama dahulu, saya dihubungi seorang rakan yang secara kebetulan terserempak dengan Sasterawan Negara; A Samad Said (gambar kanan) atau lebih mesra dipanggil Pak Samad. Mereka bertemu di Sentral Kuala Lumpur, nadi penting transportasi warga kota hari ini. Sejak bergelar "buangan" dan sesetengah rakan pula menggelar saya "pelarian", saya belum pernah lagi berkesempatan untuk bertemu dan bercakap dengan Pak Samad seperti dahulu. Saya ambil peluang itu untuk bercakap dengan beliau melalui telefon milik rakan saya itu. Kedengaran sahaja suara saya di talian, belum sempat saya bertanya khabar sudah beliau ajukan soalan, "Bagaimana keadaan kamu sekarang?"

Saya hanya mampu jawab, "Tidak ketentuan dan sedikit berserabut. Masih lagi sedang menyesuaikan diri." Mendengar respon saya, beliau tergelak kecil dan menyambung, "Kamu harus teruskan usaha, jangan mengalah. Biasalah begitu. Ketika saya bersama dengan Ahmad Boestamam dahulu pun, hidup saya juga terumbang-ambing. Teruskan." Jawapan yang ini memberi saya semangat, namun juga turut menimbulkan lebih persoalan. Apa yang dilalui beliau dahulu? Saya perlu bertemu beliau suatu hari untuk mendapatkan lebih gambaran. Buat masa ini, saya masih lagi mencari jawapan dari bahan bacaan yang ada.

Keadaan diri yang sibuk bagaimanapun banyak mengehadkan waktu untuk saya menghabiskan bahan-bahan bacaan yang ada dalam simpanan saya. Ketika dalam perjalanan ke Arau, Perlis baru-baru ini, sempat saya menghabiskan juga material yang dipinjamkan oleh sahabat saya dari UITM Shah Alam. Buku terbitan tahun 1984 yang bertajuk Bersama Rakyat hasil susunan Hassan Karim dan Siti Nor Hamid itu saya kira sebuah bahan yang wajib dibaca oleh semua orang terutama sekali golongan pelajar. Hampir lengkap pensejarahannya tentang gerakan dan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam gerakan pelajar di era 1960-an sehingga 1970-an sebelum gerakan ini dibunuh oleh akta drakonian AUKU.

Melalui bacaan ini, saya temui banyak jawapan kepada persoalan-persoalan yang difikirkan sejak dahulu lagi. Nyata, gerakan mereka dahulu jauh lebih progresif dari apa yang dibawa kami hari ini. Jika hari ini, kami lebih banyak mengeluarkan kenyataan dari menzahirkan pernyataan, mereka dahulu adalah sebaliknya. Tidak hairanlah terlalu sedikit rekod yang ditemui untuk menyelusuri gerakan mereka ketika itu kecuali catatan dan memoir mereka sendiri, ataupun kajian-kajian seperti yang dibentang oleh Fahmi Reza (gambar kiri) dan rakan-rakan.

Sejarah unik dan besar golongan pelajar di zaman 1960-an dan 1970-an itu nyata telah dikambus oleh pihak-pihak yang masih cuba mematikan obor dan api yang pernah dinyalakan mereka dahulu. Malah, sejarah penting pelajar SITC pra-kolonial juga dikabur dan dikuburkan dengan sejarah-sejarah "orang yang menang", sedangkan apa yang pernah dilakar oleh pelajar-pelajar SITC itu nyata lebih signifikan dan jauh lebih penting untuk dikaji dan dijadikan panduan dan teladan kita hari ini berbanding kisah "Bahtera Merdeka" yang saya sifatkan hampir tidak berhujung pangkal dan lahir secara tiba-tiba. Bukan niat untuk mengecilkan peranan perjuangan mereka itu sebaliknya hanya melahirkan kekecewaan apabila sejarah gerakan awal yang lebih hebat yang oleh pelajar-pelajar SITC ini bukan sahaja tidak diberi perhatian sewajarnya, malah suatu ketika dahulu sampai pernah dianggap sebagai "sejarah hitam" negara. Mujurlah dengan tampil lebih ramai orang yang rajin mengkaji dan membentangkan kajian mengenainya, sedikit demi sedikit nama dan perjuangan mereka ini kembali diiktiraf oleh masyarakat sebagai asas penting kemerdekaan negara.

Segala persoalan, sejarah, memoir, dan kisah-kisah penting gerakan-gerakan pelajar dari seawal 1930-an hinggalah ke lewat 1970-an dahulu perlu diceritakan semula. Walaupun usaha banyak pihak yang melakukan pencerahan semula lipatan-lipatan penting ini semakin hari semakin bertambah dan mula mendapat perhatian sewajarnya; kita harus sedia sedar bahawa pencerahan ini masih belum mencukupi lagi. Rekod-rekod sejarah ini kebanyakannya masih cuba disembunyikan oleh pihak-pihak yang tidak saya ketahui mengapa begitu takut dengan pendedahan sejarah ini. Tulisan-tulisan yang mengupas sejarah pelajar-pelajar ini juga banyak yang disekat dan diharamkan sebaran dan terbitannya. Sehingga pada satu tahap, kemampuan untuk memiliki material yang merekodkan sejarah-sejarah ini boleh dianggap hebat.

Untuk golongan seperti saya dan rakan-rakan hari ini, sejarah-sejarah terselindung ini terlalu berharga dan penting untuk dijadikan panduan dalam usaha mengembalikan peranan mahasiswa sebenar dalam pembangunan negara. Kita masih lagi bernasib baik kerana hari ini, ramai pihak yang sedar dan begitu gigih sekali mengembalikan semula nilai sejarah yang hilang ini ke tempat asalnya. Untuk mereka ini, saya ucapkan terima kasih. Walaupun usaha mereka ini tidak pernah mendapat pengiktirafan "rasmi" dan seringkali juga disekat, mereka telah banyak membantu kami dan ramai pihak yang begitu kepingin sekali untuk mengetahui titik-titik penting negara. Sebagai masyarakat yang terdidik, kita harus menyokong usaha-usaha ini dan tentu sekali menghargainya. Mengetahui dan mempelajari sejarah yang hilang ini sangat penting dalam membentuk dan membantu usaha-usaha kearah perubahan yang sedang diimpi dan digerakkan oleh kita semua hari ini.

Mungkin suatu hari nanti, apabila usaha-usaha "pemulihan" ini sudah membuahkan hasilnya, kita tidak perlu lagi bersusah payah untuk terbang ke negara jiran hanya untuk mendapatkan material-material sejarah ini. Mungkin juga, kita hanya perlu ke gedung-gedung buku besar seperti di KLCC untuk mendapatkan buku-buku "cult" dan "rare" ini seperti kita mendapatkan buku teks sekolah. Atau mungkin, kita boleh terus berkunjung sahaja ke Muzium Negara untuk mendalami sendiri sejarah gerakan pelajar ini. Pameran Kapal Karam mungkin boleh digantikan dengan Pameran Gerakan Mahasiswa.

Setakat ini, kita, termasuklah saya sendiri mungkin hanya mampu untuk terus berusaha mendalami dan mengkaji sendiri tinggalan-tinggalan perjuangan terdahulu melalui segenap hasil usaha yang dapat diperolehi hari ini; samada melalui buku-buku fotostat yang diedar secara senyap-senyap, menonton filem-filem dokumentari di Internet, melayari blog-blog yang saban hari dipantau, forum-forum dan ucapan tertutup, ataupun cerita lisan dari pengukir sejarah-sejarah ini yang masih hidup. Soal mengenai bagaimana mereka melalui hari-hari mereka ketika sedang berjuang dahulu masih kekal menjadi tanda tanya buat saya. Yang pasti, tentu sekali lebih mencabar dari apa yang sedang saya dan rakan-rakan termasuklah anda semua lalui hari ini.

*Adam Adli ialah aktivis mahasiswa, bergiat aktif dalam pertubuhan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Tiada ulasan: