Isnin, 20 Februari 2012

Debat Guan Eng-Soi Lek, MCA hanya bertumpu pada Hudud

Viktor Wong, Malaysia Chronicle


Perdebatan di antara Setiausaha-Agung DAP Lim Guan Eng dan presiden MCA Chua Soi Lek semalam telah menyaksikan pemimpin MCA itu membuka tirai dengan hentaman terhadap PAS dan undang-undang Hududnya dengan menggunakan DAP sebagai bantal untuk tumbukan tersebut.

Hentaman demi hentaman daripada bermulanya siri perdebatan itu sehinggalah berakhirnya forum tersebut hanya bertumpu kepada ketakutan dan kebimbangan MCA dan Chua yang PAS akan memonopoli kuasa sekiranya Pakatan Rakyat berkuasa dan undang-undang Hudud akan dikuatkuasakan terhadap semua kaum termasuk mereka yang bukan Islam.

Hudud, Hudud dan Hudud!

Malah, menurut pengarang akhbar The Star Wong Chun Wai turut menyokong Chua dengan mengatakan bahawa Lim telah gagal menjawab persoalan mengenai kedudukan DAP di dalam isu Hudud yang sering diketengahkan oleh PAS.

Ya, sekitar forum tersebut MCA dan Chua hanya menumpukan serangan mereka dengan menggunakan perkara tersebut sebagai senjata utama mereka. Dan sememangnya adalah amat tepat dan betul sekali bagi Lim untuk tidak menjawab sebarang isu yang berkaitan dengan Hudud itu, oleh kerana pucuk pimpinan tertinggi Pakatan telahpun menjelaskan kepada rakyat jelata bahawa undang-undang Hudud itu tidak akan dijadikan tajuk utama sekiranya Pakatan naik ke pentas Putrajaya di suatu hari nanti.

Ini adalah kerana pembikinan MCA dalam isu Hudud itu adalah merupakan suatu perangkap untuk menarik Lim ke dalam kancah yang bakal melibatkan Umno dan Perkasa apabila isu tersebut diperbesarkan dan diputar belitkan oleh media-media milik kerajaan.

Agak menghairankan kenapa Chua tidak menuding persoalan mengenai Hudud itu kepada pihak yang lebih rapat dengan PAS, iaitu Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dan presidennya Hu Pang Chew? Ini adalah kerana Hu adalah merupakan pemimpin yang paling sesuai kerana beliau mewakili ahli-ahli bersekutu bukan Islam di dalam PAS.

Dalam membangkitkan isu pemerintahan PAS di negeri Kelantan, Chua juga telah lupa bahawa kerajaan PAS di negeri tersebut telah memberikan lebih banyak kemudahan dan bantuan kepada masyarakat bukan Islam berbanding dengan Umno yang memerintah negeri-negeri yang lain. Pemerintahan PAS di Kelantan juga tidak menampakkan penindasan terhadap masyarakat Cina dan India seperti yang didakwa oleh Chua dan MCA.

Umno takut diKristiankan, MCA takut diIslamkan

Apa yang Chua dan MCA asyik ketengahkan lebih daripada seribu kali sehinggalah ke hari pendebatan semalam adalah apabila Pakatan berkuasa nanti, PAS akan menjadi lebih berkuasa daripada PKR dan DAP, sejurus itu akan merombak negara ini kepada sebuah negara Islam, seterusnya undang-undang Islam akan dikenakan terhadap semua orang tidak kira seseorang itu beragama Kristian, Buddha, Tao, Sikh dan sebagainya.

Tetapi Chua sekali lagi telah lupa bahawa Umno dan presidennya Najib Razak tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut. Di dalam ceramah, siri penerangan di seluruh negara, Najib, timbalannya Muhyiddin Yassin dan para pemimpin Umno yang lain asyik memberikan peringatan kepada orang ramai, khususnya masyarakat Melayu bahawa jika sekiranya Pakatan berkuasa, DAP akan memonopoli kuasa dalam kerajaan, meminda perlembagaan persekutuan dan seterusnya membentuk sebuah negara Kristian berdasarkan undang-undang Katolik.

Ini jelas menunjukkan bahawa Umno dan MCA sebenar-benarnya tidak sehaluan langsung di dalam gabungan BN. Pemimpin manakah yang bercakap benar? Umno takut negara ini akan diKristiankan oleh DAP, sementara MCA pula takut negara kita ini akan diIslamkan oleh PAS.

Walaubagaima tidak sehaluan pun MCA dengan Umno, MCA dan parti-parti komponen BN yang lain tetap tunduk dan “kow tow” terhadap Umno dan agenda ketuanannya yang sungguh perkasa.

Sewaktu para pemimpin Umno menonjolkan keperkasaan dan ancaman pertumpahan darah terhadap rakyat jelata, apakah MCA telah buat? Sewaktu pemuda Umno berkumpul di hadapan Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur dan mengancam membakar bangunan pertubuhan tersebut, mengapa MCA tidak menyuarakan bantahan mereka? Sewaktu para pemimpin dan perwakilan Umno mengancam untuk membakar seluruh kota Kuala Lumpur dan menyalut keris mereka dengan darah masyarakat Cina, apakah MCA buat? Apabila masyarakat Cina diketepi dan didiskriminasikan, apakah MCA buat?

Yang MCA buat cuma berdiam diri dan asyik menjanjikan “perbincangan tertutup” dengan Umno akan dibuat bagi menyelesaikan masalah tersebut. Akan tetapi, yang kita lihat pada hari ini adalah agenda perkauman sempit yang dibawa oleh Umno ini telah menjadi semakin berleluasa dan tidak dapat dikawal lagi. Apakah MCA buat?

Isu pendidikan

Di dalam isu pendidikan pula Chua dan ahli-ahli MCA di dalam forum tersebut berulang kali mengecam DAP dan Pakatan mengenai pemerintahan tiga tahun mereka di negeri Selangor dan Pulau Pinang tidak menampakkan penambahan sekolah-sekolah rendah jenis kebangsaan (SRJK-Cina) ekoran daripada penambahan bilangan murid-murid berketurunan Cina.

Malah ada yang menuduh Pakatan yang kononnya kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor enggan memberikan tanah untuk membina sekolah-sekolah Cina.

Chua dan MCA sekali lagi lupa bahawa dasar pendidikan di negara kita ini adalah dikelolakan oleh kerajaan pusat selama ini dan kerajaan negeri langsung tidak mempunyai kuasa untuk campurtangan di dalam menentukan sistem pendidikan di negeri masing-masing. Dasar tersebut adalah termaktub dengan jelas di dalam Akta Pendidikan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.

Lupakah Chua pada apa yang telah berlaku di daerah Taiping, Perak sebelum ini? Sewaktu sekumpulan pemimpin masyarakat Cina di daerah tersebut mengunjungi seorang timbalan menteri pendidikan daripada MCA untuk mengemukakan permohonan untuk menubuhkan satu SRJK-Cina, pemimpin MCA tersebut menyampuk dan membalas “kita semua sekarang sudah ada banyak sekolah-sekolah Cina di negeri ini dan kalau nak ditambah sebuah lagi, saya fikir ini mustahil kerana Umno akan membantah sekiranya permohononan tersebut diteliti”. Pada masa itu timbalan menteri pendidikan tersebut adalah seorang naib-presiden MCA.

Jadi, siapakah sebenarnya tidak berusaha begitu bersungguh bagi memastikan agar masyarakat Cina menerima dan menikmati kemudahan-kemudahan dan peruntukan yang setimpal?

Tumpuan MCA hanya perkauman

Sepanjang perdebatan antara Lim dan Chua semalam, pemimpin MCA itu hanya berminat untuk menumpukan perhatiannya mereka terhadap isu perkauman dan begitu juga dengan lain-lain perkara seperti pendidikan dan dasar-dasar kerajaan.

Chua sekali lagi telah lupa bagaimana Umno telah melayan MCA selama ini, malah perkara-perkara berbangkit dan soal yang melibatkan kepentingan negara seperti pembenterasan rasuah dan salahguna kuasa, kronisme di dalam parti dan kerajaan, pelbagai jenis skandal yang melibatkan kerugian berjuta-juta Ringgit tidak diketengahkan oleh pemimpin MCA itu untuk pengetahuan umum.

Sementara di pihak Lim dan DAP pula, yang diketengahkan oleh Setiausaha-Agung DAP itu adalah dasar-dasar kerajaan yang cekap, telus dan amanah, pencegahan rasuah dan salahguna kuasa, hak kesamarataan, keadilan untuk semua rakyat, perkhidmatan yang efisien, penyaluran bantuan untuk semua rakyat, kemajuan dan memantapkan ekonomi negara, menaikan kadar pendapatan setiap isi rumah dan demokrasi yang menyeluruh di dalam negara, serta hak dan kebebasan rakyat untuk bersuara.

Kesemua yang diketengahkan oleh Lim dan DAP ini bukan sahaja untuk masyarakat Cina untuk menikmatinya malah semua kaum, tak kira sama ada orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau Dayak akan juga berhak menikmati segala manfaat tersebut. Ianya melibatkan kepentingan negara dan rakyat Malaysia pada keseluruhannya.

Apa yang Chua dan MCA ketengahkan sepanjang perdebatan tersebut hanyalah bertumpu kepada satu kaum semata-mata dan bukannya untuk seluruh rakyat Malaysia pada amnya.

Jika sekiranya MCA mendakwa ianya wakil masyarakat Cina yang paling berkesan, kenapa selama lebih 50 tahun MCA berada di dalam kerajaan, masyarakat Cina masih menghadapi ketidakadilan di dalam pelbagai dasar-dasar kerajaan dan pendidikan, masih terpinggit di dalam pelbagai faedah dan dianggap sebagai rakyat kelas dua.

Dengan hanya mewakili satu kaum sahaja, kenapa MCA sehingga pada hari ini masih gagal untuk memastikan keadilan dan kesamarataan untuk masyarakat Cina di negara ini? malaysia chronicle

Tiada ulasan: