Rabu, 8 Februari 2012

Bila Najib nak nasihati Utusan, Umno?

Jika benar beliau bersikap sederhana maka beliau harus menasihati akhbar Utusan Malaysia dan Majlis Tertinggi Umno supaya bersikap sederhana, kata Kit Siang.



PETALING JAYA: Penasihat DAP, Lim Kit Siang menasihati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya benar-benar mengamalkan sikap sederhana atau al-wasatiyyah sepertimana yang digembar-gemburkan oleh kerajaan pimpinannya.

“Jika benar beliau bersikap sederhana maka beliau harus menasihati akhbar Utusan Malaysia dan Majlis Tertinggi Umno supaya bersikap sederhana,” kata beliau dalam blognya hari ini.

Ketika menyambut perayaan Chap Goh Meh di sebuah tokong Cina di Jenjarom malam Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat mengambil sikap sederhana atau mengamalkan konsep al-wasatiyyah.

Najib berkata, “walaupun kita mempunyai kepercayaan yang berbeza, sikap sederhana wujud dalam semua agama. Kesederhanaan ialah satu kefahaman yang menolak amalan fanatik, ekstrem, militan dan ideologi yang ganas di kalangan kita.”

Kit Siang yang juga ahli parlimen Ipoh Timor menyoal jika benar Najib mempunyai sikap yang demikian maka bilakah Najib akan menasihati golongan ekstremis seperti Utusan Malaysia dan Majlis Tertinggi Umno supaya mengamalkan sikap yang sederhana.

Hasut rakyat benci DAP

Menurut Lim, dalam tempoh tiga tahun yang lalu, Utusan Malaysia terus menerus melancarkan kempen yang bersifat perkauman dan menghasut terhadap DAP.

Akhbar milik Umno itu katanya, tidak sudah-sudah membuat tuduhan palsu dan liar terhadap DAP kononnya DAP ialah sebuah parti yang anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja Melayu malahan menuduh DAP cuba untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian.

“Utusan juga menuduh DAP mahu melantik seorang penganut Kristian sebagai Perdana Menteri sedangkan Najib hanya diam membisu dan tidak berusaha untuk menyekat sikap yang melampau ini.

Menyentuh mengenai ucapan Najib ketika perayaan Thaipusan di Batu Caves semalam, Kit Siang berkata, masyarakat India telah pun memberi kepercayaan kepada Umno-Barisan lebih 50 tahun. Kata seorang pembaca dalam portal berita “apa lagi yang kamu mahu, PM Najib Razak?.”

Dengan ucapan itu kata Kit Siang, Najib juga telah mencemar imejnya sendiri sebagai seorang perdana menteri untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama dan kedudukan sosio-ekonomi melalui dasar 1Malaysia.

Semalam FMT melaporkan Najib memberitahu ribuan masyarakat India di Batu Caves bahawa jika mereka “menolongnya” maka kerajaan juga akan membalas dengan “membantu kamu”.

“Jika kamu tolong saya, saya akan tolong kamu. Kamu percaya dengan saya, saya percaya dengan kamu. Namikei (kepercayaan) di antara kita semua. Malaysia akan makmur, masyarakat India akan maju, semua bangsa boleh maju ke hadapan,” kata Najib.

Tiada ulasan: