Dr. Rosli Yaakop, | |
Bila jumlah wang haram (illicit money) yang mengalir keluar dari Malaysia mencecah angka trilion (USD338 bilion atau RM1.08 trilion dalam tempoh 2000-2010), maka ini bukan kerja ikan bilis. Budak pejabat, pegawai kerani, pegawai rendah kastam dan sarjan polis, kalaulah mereka mengambil wang rasuah, jumlahnya tidak akan sampai sebesar itu. Lagi pun, mereka tidak mampu untuk menyeludupkan wang haram itu ke luar negara kerana mereka tidak pernah pun ke luar negara kecuali, bagi mereka yang sudah berumur, pergi haji sekali seumur hidup. Kalaulah mereka makan rasuah, mereka akan hanya simpan di bawah bantal dan belanja sedikit-sedikit. Hendak simpan di bank pun mereka takut. Hendak pakai kereta Mercedes lagi mereka takut sebab jiran-jiran akan menanyakan di mana dapat wang yang tidak sepadan dengan gaji bulanan itu.
Kerja menyeludupkan wang haram ke luar negeri adalah kerja jerung – orang besar, berkedudukan, berpengaruh dan merembat wang haram dalam jumlah yang besar. Orang inilah yang selalu ke luar negara, naik kapal terbang kelas pertama, mungkin memiliki pasport diplomat dan mungkin juga memiliki jet pribadi. “By way of elimination” amat mudah untuk pihak berkuasa mengenalpasti mereka ini dan amat senang pula untuk serekup mereka, kalau mahu. Bila mereka bermain jalan pintas dengan undang-undang dan peraturan negara dibantu pula oleh pihak berkuasa yang tidak bertaring, maka mereka memiliki laluan amat mudah untuk menyeludup wang haram ke luar negara.
Dilaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Sri Utama Haji Mohammad Hassan telah menyeludupkan wang ke luar negara sebanyak RM10 juta (Mac 2008). Syarikat pengurup wang yang bersyubahat dengan perbuatan menyeludup wang itu, Salamath Ali Money Changer Sdn. Bhd. telah dibatalkan lesennya oleh Bank Negara Malaysia, membukti bahawa wang memang telah di bawa lari ke luar negara secara haram tetapi orang yang memiliki wang itu dan yang sebenarnya membawa wang itu lari tetap lepas bebas. Mungkin beliau berkata “kenapa hendak “pin down” aku seorang, ramai lagi orang besar-besar yang seludupkan wang haram ke luar negara dan jumlahnya jauh lebih besar, tidak patutlah aku seorang sahaja yang kena.”
Yang Berhormat Ahli Parlimen Batu (Tian Chua) pernah memberitahu parlimen bahawa Bank Negara Malaysia telah mengesahkan bahawa sejak 2006 hingga 2009, ada 114 kes menyeludupkan wang haram ke luar negara yang telah dikesan tetapi Bank Negara enggan mendedahkan butir-butir kes kepada umum. YB Tian Chua mendedahkan ada isteri menteri yang seludupkan wang ke Dubai (dalam tahun 2008) berjumlah RM600,000 dan seorang Tan Sri yang seludupkan wang sebanyak GBP3.5 juta ke United Kingdom (di antara Jun-Ogos 2008) dan beranggapan bahawa semua ini mungkin berlaku kerana ada tangan ghaib yang menghalang pihak berkuasa – Bank Negara Malaysia, Kastam dan lain-lain – menjalankan tugas. Bank Negara Malaysia diseru supaya bertindak “without fear and favour” tetapi memandangkan semakin besar wang haram yang mengalir keluar negara, maka BNM dianggap “ineffective,” mungkin tunduk kepada tangan ghaib yang lebih berkuasa.
Wang haram yang diseludup ke luar negara ini amat rapat kaitannya dengan wang rasuah. Amalan rasuah di negara kita telah merebak dari buruk kepada semakin buruk. Dalam masa sepuluh tahun yang lepas, Malaysia telah menjadi negara ke 60 paling rasuah di dunia berbanding dengan tempat 35-38 di masa yang lalu. Semakin teruk kes rasuah, semakin meningkat wang haram (illicit money) yang mengalir ke luar negera. Malaysia adalah negara ke 5 paling tinggi dalam aliran wang haram ke luar negera.
Pemakan rasuah yang berdarajat jerung tidak menyimpan wang yang dirembat di akaun bank di dalam negera sebab ia mudah dikesan oleh pihak berkuasa. Mana boleh, gaji mereka kecil tetapi akaun bank mereka amat gemuk. Tentu ia menimbulkan syak wasangka. Mereka amat sedar akan bahayanya menyimpan wang di dalam akaun bank tempatan. Hendak simpan dirumah pun mereka takut. Sekiranya pencuri masuk rumah, tentu pencuri yang akan kenyang. Hendak buat laporan polis tentang kehilangan wang yang berjuta-juta ringgit jumlahnya tentu takut. Mana ambil wang yang begitu banyak sebagai penjawat awam atau menteri kabinet, misalnya. Oleh itu, mereka mesti bawa lari wang haram itu ke luar negara, dicuci, disimpan di bank yang menawarkan kemudahan “akaun sulit” dan dilaburkan dalam perniagaan hartanah. Bila mereka melancung ke luar negara, maka masa itu mereka membelanjakan wang itu dengan berbeli belah sakan. Wahai pihak berkuasa, semaklah orang Malaysia yang memiliki rumah mewah di Australia, United Kingdom, Kanada, Amerika Syarikat, Singapura dan sebagainya, mana mereka ambil wang itu.
Kita mengalu-alukan usaha pihak berkuasa kastam untuk memasang mesen pengimbas berteknologi tinggi berharga RM300,000-1,800,000 se unit di kesemua pintu masuk dan keluar di negara (laporan The Star 1 Februari 2012) bagi membendung aliran wang haram ke luar negara tetapi penyeludup yang berselindung di sebalik tangan ghaib tidak mampu diimbas oleh mesen ini, walau sechanggih manapun ianya. Contohnya, dalam bulan April 1997, bekas Menteri Besar Selangor (1986-1997) di kesan di sebuah lapangan terbang di Australia cuba mennyeludup wang sebanyak RM3.8 juta ke negara itu. Hairan, ia gagal dikesan di KLIA. Beliau telah didakwa tetapi akhirnya dibebaskan sebab “beliau tidak faham bahasa Inggeris dan sebab itu, tidak faham peraturan matawang.”
Wahai pihak berkuasa, kalau betul-betul serius hendak membanteras penyeludupan wang haram ke luar negara, maka tumpukanlah perhatian kepada penyeludup wang haram yang berdarajat jerung.
Memandangkan jumlah yang begitu besar diseludupkan ke luar negara, penulis mengesyaki bahawa pemerintah Malaysia yang ada sekarang, ahli keluarga dan keroni-keroni mereka adalah dalam kerangka membuat persediaan untuk cabut lari ke luar negara kerana ada bisikan di dalam hati kecil mereka bahawa kerajaan yang ada sekarang tidak lama lagi akan tumbang. Aliran wang haram ke luar negara yang semakin menggunung ini adalah satu petanda bahawa PR akan menang dan BN akan kalah dalam Pilihan Raya Umum ke 13 ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan