Sabtu, 4 Februari 2012

Ahli politik diminta tak campur urusan Thaipusam


MALAYSIA KINI

Ahli politik di Pulau Pinang diminta supaya tidak mencampuri keputusan Jawatankuasa Pengurusan Kuil Balathandayuthapani Waterfall yang mahu melaksanakan sistem muzik dan lagu keagamaan secara berpusat pada perayaan Thaipusam Selasa ini.

Pengerusi Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Pulau Pinang M Reghu Devan Lopez berkata pihaknya tidak berpuas hati dengan campur tangan ahli politik berkenaan dalam keputusan yang sudahpun dibuat demi keharmonian sambutan berkenaan.

"Kami terkejut apabila beberapa hari lepas, kami dimaklumkan sistem muzik berpusat tidak dapat dilaksanakan kerana ada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) mencampuri hal berkenaan.

"Tindakan itu sangat menghairankan. Agama dan politik adalah dua perkara berbeza, mengapa ia perlu diganggu," katanya dalam sidang akhbar di Butterworth hari ini.

Yang turut hadir di sidang akhbar itu ialah Pengerusi Persatuan Hindu Sangam (MHS) Pulau Pinang G Shanmuganathan, Pengerusi Pertubuhan Hindudharma Malaysia (MHM) Pulau Pinang V Nanda Kumar, dan Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi India Negeri Pulau Pinang (PISRC) M Karthi.

Lopez berkata pihaknya mahu sistem lagu berpusat itu dilaksanakan pada sambutan Thaipusam 7 Februari ini bagi memastikan hanya lagu keagamaan Hindu sahaja dimainkan pada perayaan keagamaan itu dan bukannya lagu artis India tempatan ataupun luar negara.

"Kami mahu sistem berpusat terbabit dilaksanakan seperti yang dipersetujui jawatankuasa pada 18 Januari lalu kerana mahu menjaga keharmonian dalam perayaan Thaipusam," katanya.- Bernama

Tiada ulasan: