Ahad, 12 Februari 2012

1 Care hanya ‘penambahbaikan’ sistem kesihatan, kata menteri




KUALA LUMPUR — Rancangan Putrajaya untuk melaksanakan skim penjagaan kesihatan 1 Care hanyalah satu penambahbaikan sistem kesihatan sedia ada, kata Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini.

Menteri Kesihatan itu memberitahu pemberita sebarang perbincangan berkenaan 1 Care masih lagi di peringkat “pra-matang”.

Beliau (gambar) mengulangi pendirian bahawa perkara itu masih lagi di “peringkat perbincangan” walaupun dilihat sebagai cubaan untuk meredakan kemarahan awam berikutan pendedahan di internet oleh golongan professional, termasuk mereka yang terlibat dalam perbincangan dengan kerajaan berkenaan pelaksanaan 1 Care sejak tiga tahun lalu.

“Kami tidak mengubah sistem, hanya menambahbaik sahaja. Kami sedang meningkatkan keupayaan sistem ini,” katanya.

Tambahnya, kementerian beliau sedang membuat perbandingan dengan negara-negara luar untuk dijadikan asas terhadap 1 Care.

“Permintaan untuk kesihatan semakin meningkat, beban terhadap kesihatan semakin tinggi, kata Liow, dan menjelaskan “penambahbaikan” perlu bagi pelan kesihatan negara.

Ditanya mengapa kerajaan tidak menambah bajet untuk kesihatan berbanding memperkenalkan sistem baru, Liow menjelaskan “kos kesihatan negara meningkat setiap tahun.”

“Kali terakhir adalah RM16 juta, peningkatan 10 peratus daripada tahun sebelumnya (2010). Kami telah lakukan perkara itu,” katanya.

Menteri MCA itu mengesahkan bahawa blueprint 1 Care dijadualkan akan lengkap pada penghujung tahun 2013, yang mana kementeriannya diberi tempoh dua tahun untuk menyiapkannya.

“Sekiranya 1 Care tidak sesuai, kerajaan boleh menolaknya.

“Apa yang lebih penting adalah respon daripada badan professional ... kami tidak boleh memberikan maklumat berkenaannya sekarang, kami tidak mempunyai maklumat, ahli jawatankuasa sedang membincangkan perkara itu,” kata Liow.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia menegaskan kertas cadangan 1 Care masih lagi di peringkat perbincangan dan kerajaan berhak menolak skim itu sekiranya tidak sesuai dengan kehendak rakyat Malaysia.

Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman menerima tekanan ekoran menyatakan maklumat lengkap berkenaan skim itu masih di peringkat idea dan rancangan dan ia masih belum dilaksanakan walaupun laporan berita menyatakan sebaliknya.

“Mengulas berkenaan 1 Care, ia masih lagi di peringkat perancangan. Terdapat 11 kumpulan kerja teknikal (TWG) termasuk penglibatan umum dan swasta.

Liow hari ini menafikan 1 Care akan memaksa rakyat Malaysia menyumbangkan 10 peratus daripada pendapatan mereka bagi membiayai skim tersebut.

“Perkara ini telah diputarbelit oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya, menambah rancangannya hanya melibatkan sumbangan daripada kerajaan, majikan, dan pekerja.

Dr Hasan telah menjelaskan berkenaan perkara itu semalam, dan mengesahkan kerajaan telah menetapkan RM34 juta untuk skim baru itu, mengesahkan setiap kos untuk skim itu akan dibiayai oleh kerajaan, majikan, pekerja, dan mereka yang bekerja sendiri.

Timbalan Pengarah Kesihatan, Unit Kewangan Nasional, Dr Rozita Halina Hussein, berkata Khamis lalu, 1 Care akan dijadikan mandatori, tapi sektor swasta akan diberi pilihan sama ada untuk menyertai skim tersebut atau tidak yang melihatkan bantahan daripada pemegang saham.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider bahawa skim tersebut “sudah berada di peringkat sangat maju” bukan peringkat pra-matang seperti di dakwa menteri.

1 Care menimbulkan kemarahan umum selepas dipercayai golongan pengamal perubatan dan perniagaan akan dipaksa menyumbangkan 10 peratus pendapatan mereka setiap bulan kepada skim tersebut.

Melalui sistem sedia ada, pesakit boleh memilih untuk mendapatkan rawatan sama ada di hospital awam mahupun swasta dan membayar menggunakan duit poket mereka sendiri, atau bayaran minimum bagi hospital kerajaan yang telah disubsidi kerajaan.

Kementerian memberi jaminan bahawa 1 Care tidak akan membebankan rakyat dengan kos berlebihan dan berkata perjanjian kewangan akan dibuat.

Tiada ulasan: