Sabtu, 11 Jun 2011

Umno-BN terus serang ‘negara berkebajikan’ PAS


GOMBAK — Umno meneruskan serangan ke atas konsep negara berkebajikan yang diketengahkan PAS minggu lalu dengan mendakwa kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) sudah pun melaksanakan dasar-dasar bersifat kebajikan sekian lama.

Terbaru malam tadi, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, antara contoh kerajaan menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah negara berkebajikan ialah dengan membayar pelbagai subsidi keperluan harian.

Beberapa jam sebelum kritikan itu, Datuk Seri Najib Razak selaku perdana menteri dan pengerusi BN menyerang konsep diutarakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada muktamarnya minggu lalu.

Semalam, Najib (gambar) yang juga Pengerusi Umno Selangor mendakwa PAS “menciplak” model kejayaan BN sambil berkata Malaysia sentiasa berperanan sebagai negara berkebajikan.

Najib berkata konsep negara berkebajikan yang diketengahkan oleh PAS minggu lalu bukan sesuatu yang baru dan sentiasa menjadi matlamat pentadbiran semasa.

Muktamar PAS yang berakhir Ahad lalu dilangsungkan dengan penekanan ke atas tema negara berkebajikan, susulan daripada manifesto pilihan raya umum parti itu tiga tahun lalu.

“Tuan-tuan semua memasak menggunakan gas bukan. Adakah anda semua tahu berapa jumlah sebenar sebuah tong gas?

“Kalau anda membeli satu tong gas dengan harga RM25, sebenarnya harga satu tong gas RM48. Jadi, tuan-tuan semua boleh kira berapa banyak subsidi yang kerajaan telah bayar. Ini bukan kebajikan?” kata Noh pada ceramah sempena “Roadshow Selamatkan Selangor” di sini malam tadi.

Ketika itu, Pakatan Rakyat pula mengadakan ceramah perdana Agenda Negeri Selangor di Bandar Baru Salak Tinggi.

Selain itu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang memberitahu bagi menyediakan subsidi minyak dan gas, kerajaan perlu membelanjakan sehingga RM18 bilion, angka yang dilaporkan bagi tahun ini.

“Jika minyak masak, tuan-tuan hanya membayar RM2.50 untuk sekilogram, harga sebenarnya ialah RM3.50, jadi kerajaan telah menanggung selebihnya. Ini masih lagi nak kata kerajaan tidak berkebajikankah?” soal Noh yang disambut tepukan dan sorakan daripada kalangan kira-kira 200 orang yang hadir.

Anggota Kabinet ini mendakwa segala apa yang dilakukan kerajaan kini merupakan satu kebajikan.

Selain itu, Noh turut mendakwa PAS kini dilihat takut untuk melangkah ‘mayat’ Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh dan oleh itu mengeluarkan kenyataan untuk melaksanakan negara berkebajikan.

Lebih dua dekad lalu, Karpal Singh pernah mengeluarkan kenyataan bahawa jika PAS ingin menubuhkan negara Islam perlu melangkah mayatnya terlebih dahulu.

Justeru, tambah Noh, sebelum Karpal mati, PAS telah membuat keputusan untuk tidak membuat negara Islam.

“Tahniah kepada Karpal kerana berjaya buat PAS tidak melangkah mayatnya,” katanya.

Noh juga memberitahu, kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besarnya Tan Sri Khalid Ibrahim kini “umpama tikus membaiki labu.” “Ini kerana sepanjang tiga tahun pemerintahan Pakatan, tiada sebarang kemajuan dibawa, sebaliknya pelbagai isu timbul seperti isu Yayasan Selangor dan isu pasir,” katanya.

Tiada ulasan: