Jumaat, 17 Jun 2011

Soi Lek: Standard pendidikan susut punca terlalu ramai dapat A dalam SPM


KUALA LUMPUR — Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mendakwa standard pendidikan yang semakin merosot telah menyumbang kepada kelahiran begitu ramai pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun gagal meneruskan kecemerlangan di peringkat pengajian tinggi.

Beliau berkata kini “begitu mudah” untuk pelajar yang mengambil peperiksaan SPM mendapat gred A+ tetapi banyak majikan kecewa dengan tahap kualiti pendidikan.

“Standard pendidikan kita semakan merosot ke selatan, bukan ke utara,” katanya dalam temu bual Breakfast Grille yang disiarkan menerusi saluran BFM hari ini.

“Kita boleh menghasilkan pelajar mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh semua A+, tetapi kajian pasaran menunjukkan mereka tidak memenuhi pencapaian itu,” katanya lagi.

Dr Chua (gambar) berkata “tidak boleh” menilai pelajar berdasarkan keputusan SPM sambil merujuk kepada pelajar yang mendapat tajaan biasiswa dalam bidang perubatan bahawa pencapaian mereka sangat rendah walaupun memperoleh keputusan baik dalam peperiksaan peringkat kebangsaan.

Beliau menegaskan sudah tiba masa bagi Putrajaya mengkaji semula keperluan tenaga kerja sebagai keutamaan semasa memberi biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk bidang perubatan, farmasi dan sains veterinar yang sudah ketinggalan zaman.

Putrajaya sepatutnya menumpukan perhatian untuk membantu pelajar dalam bidang-bidang kritikal seperti teknologi hijau, pengurusan teknologi maklumat, perkilangan dan perkhidmatan awam, demikian bekas menteri kesihatan ini.

“Pelajar tidak harus memilih kursus yang mereka mahukan di universiti,” kata Dr Chua lagi.

Beliau menambah ruang yang lebih besar perlu diberi kepada Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin dalam sistem pendidikan bagi memastikan bakal graduan mempunyai kepelbagaian untuk memenuhi pasaran.

Walaupun Putrajaya membahagikan 500 biasiswa tempatan daripada 12,000 biasiswa JPA minggu lalu, namun ramai pelajar cemerlang lain kecewa kerana tidak dibiayai kerajaan.

Selasa lalu, MCA mengumumkan akan menubuhkan tabung pinjaman berjumlah RM30 juta kepada semua kaum memandangkan kerajaan tidak boleh menampung bilangan pelajar mendapatkan biasiswa di peringkat pengajian tinggi.

Bagaimanapun Dr Chua menegaskan, tabung itu bukan untuk bersaing dengan biasiswa JPA yang menjadi polemik baru-baru ini antara parti mewakili orang Cina dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu tetapi perbalahan itu berterusan.

Disebabkan perbahalahan itu, biasiswa JPA yang diperuntukkan setiap tahun sebanyak 1,500 kepada pelajar yang menyambung pengajian ke luar negara yang mana hanya 20 peratus dinilai berdasarkan kecemerlangan yang diperoleh.

Sementara itu, 900 biasiswa diagihkan mengikut kuota kaum, Sabah dan Sawarak mendapat 75 pemberian biasiswa manakala 10 peratus lagi kepada pelajar yang memerlukan.

Tiada ulasan: