MSO
TERNYATAAN perebutan jawatan dalam Pas jauh berbeza dengan perebutan jawatan dalam Umno. Pas masih berjaya menjaga tatasusila dan adat sopan serta ukhwah sesama sendiri. Falsafah bertanding bukan gilakan jawatan tetapi menawarkan perkhidmatan masih menjadi pegangan dan azimat. Demokrasi dalam Pas masih segar dan belum ternoda dengan demokrasi ala Umno. Inilah kekuatan Pas sebenarnya.
Bukan seperti Umno. Dalam Pas tidak ada pembahagian sampul surat di dalam bilik air atau pemberian surat hasrat untuk mendapatkan apa-apa projek. Dalam Pas tidak ada chai - senarai calon yang diedarkan, tidak ada buku yang diterbitkan untuk menyokong calon tertentu dan membelasah calon lain yang disponsor sesiapa. Kalau ada pun dalam Pas komen-komen nakal dalam Fb dan blog atau kiriman SMS sekadar memeriahkan pemilihan saja atau melayani mata yang tidak mengantuk.
Secara umumnya proses pemilihan masih berjalan dengan semangat anak beranak, saling pengertian dan penuh mahabah. Itulah Pas.
Ini semua dapat dibayangkan pada suasana yang ditunjukkan atau dapat dilihat pada pagi tadi menjelang perasmian muktamar. Ada calon yang masuk bergandingan dengan lawan masing-masing dan bersalaman dengan para tetamu dan juga perwakilan dengan penuh mesra. Masing-masing bergelak tawa dengan muka berseri-seri.
Tidak cukup bersalaman sesetengahnya berpelukan dan berlaga pipi macam tok Arab. Inilah budaya dalam Pas yang wujud sejak lama dulu. Sentuhan pipi atau genggaman erat tangan atau tepukan bahu adalah sentuhan ukhwah yang akan meninggalkan kenangan dan keakraban persahabatn dalam satu jemaah. Sentuhan kecil yang mesra itulah menjadikan penambat kasih di antara mereka.
Situasi inilah menjadikan Pas berbeza dengan Umno dan parti-parti politik lain. Walaupun suasana kempen tidak dapat dielakkan tetapi ia sekadar dilakukan sebagai formaliti saja, bukan sesuatu yang serius atau wajib. Kalau pun terasa hangat di dadah akhbar arus perdana yang mempunyai agendanya tersendiri atau sesudah kehabisan modal untuk melaporkan kes video lucah. Sejak akhir-akhir ini yang nampak lebih memberi liputan dan gimik kepada muktamar Pas ialah akhbar yang dulunya menggelapkan berita mengenai muktamar Pas.
Pas juga masih adil saya lihat. Walaupun ada akhbar tertentu tidak memberi laporan yang adil dan saksama dan berniat jahat namun mereka masih tetap diberi layanan dan pas untuk membuat liputan. Tadi saya terlihat ada dua tiga orang wartawan yang menulis agak pesimis terhadap Pas tetapi masih diberi peluang untuk membuat liputan dan ulasan muktamar.
Ini berbezanya Pas dengan Umno parti yang kononnya lebih moden dan hebat dari Pas tetapi menutup pintu perhimpunannya kepada akhbar tertentu apa lagi yang mirip kepada pembangkang.
Tegasnya calon yang bertanding merebuta jawatan tidak berkempen dari luar batas-batas yang sepatutnya. Kandati pas tidak mengadakan etika namun aktiviti kempennya ia masih terpelihara. Ada calon langsung tidak memberi apa-apa reaksi kepada perwakilan mungkin kerana sudah yakin menang atau sudah tahu akan kalah.
Broker calon juga cukup berhati-hati menjaga taukeh masing-masing. Cakap lemah lembut macam pondan, dan bertanya dengan penuh makna begitu juga ketika menjawab persoalan diajukan. Apa khabar, sihat? Jawaban yang akan keluar nanti akan menterjemahkan isi dalaman. Kalau jawaban sihat, tegas maknanya ada harapan perwakilan itu akan mengundi calon yang didokong oleh penyokong berkenaan. Tetapi kalau jawaban 'laweh' boleh.... bermakna perwakilan itu tidak dapat hendak dipastikan.
Pagi tadi saya memerhati segala gelagat para pemimpin yang bertanding dari jawatan timbalan presiden, naib presiden hingga Ahlijawatan kuasa. Hampir semua mereka dapat saya saksikan atau ada yang sempat bersalaman dengan saya memuji ulasan dan ada juga yang mahu kepastian lanjut mengenai siapa yang kalah dan siapa yang menang. Yang jelasnya tidak ada yang berani membelasah saya di depan walaupun dalam komentar mereka agak keras mengkritik cara saya membuat kritikan.
Antara mereka yang pertama ternampak ialah Nasharudin Mat Isa yang masuk bersendirian dan diiringi berapa orang penyokongnya. Dia bersalaman dengan perwakilan atau tetamu yang berbaris di jalanan dari pintu gerbang (jalan besar) hingga menuju ke dalam dewan. Selepas itu diikuti pula oleh Mahfuz Omar.
Sekejap kemudian Mohamad Sabu belenggang masuk, bersalam kiri dan kanan sambil menepuk bahu orang ditemunya dengan berkata bagus... bagus. Kemudian tiba pula tuan Ibrahim Tuan Man. Sewaktu bersalaman dengan saya terkeluar kata-kata; "ini semua kerana kawan-kawanlah." Apa yang dimaksudkan bahawa beliau bertanding bukan atas kehendaknya tetapi kerana kawan-kawan yang suruh.
Kehadiran para pemimpin semakin ramai, sehingga saya tidak cukup tangan untuk merakam gambar masing-masing. Antara yang terlihat dan melemparkan senyum tetapi tidak sempat diambil gambar termasuklah Mustapa Ali, Dr Haron Din, Nizar Jamluddin, Idris Ahmad dan lain-lain. Sallahuddin Ayub pula langsung tidak kelihatan, mungkin telah terlekat dicelah-celah orang ramai.
Kemudian muncul pula Husam Musa dengan sut Melayu berwarna hijau muda -- jangan bini muda sudahlah... Nampak sekali segak dan menyerlahkan ketokohan seorang pemimpin. Dia diiringi oleh 'orang' Rantau Panjang, semasa saya menghalakan camera BB ke arah Husam orang Rantau Panjang itu melarikan muka, kemudian hilang lenyap entah ke mana, tak sempat dia mengiringi Husam sampai ke dewan muktamar. Kenapa?
Saya sempat juga bersalam dengan Husam sambil menggoncang-goncangkan tangan. Dalam goncangan itu tangan saya terasa lebih kemas dari tangannya. "Kenapa kuat goncang,?" tanyanya. Goncangan itu bukan apa kerana kesiankan dia dibelasah teruk oleh Kickdefella disaat-saat dia hendak masuk gelanggang. Rupa makhluk ini yang terputus tali masih belum ditembak! Saya rasa perwakilan Pas semua sudah faham untuk apa dan kenapa Kicdefella tiba-tiba seakan tersedar dari tidur untuk memburukkan Husam.
Selepas Husam berlalu, tiba pula Mohd Amar Nik Abdullah. Seperti selalu bila bertembung dengan saya, dia akan berkata; MSO... Tinta Merah, tetapi kenapa pakai baju biru hari ini..? Itulah bahasa salam Mohd Amar dengan saya. Jawab saya baju merah diambil oleh orang lain. Sayang wajah terbaru Mohd Amar tidak pula sempat dirakam. Sebenarnya ingin sekali saya merakam wajah Mohd Amar yang duduk berganding dengan Husam.
Akhirnya tibalah orang penting dalam Pas, Abdul Hadi Awang yang kemudian diikuti oleh Tokguruku Nik Aziz. Kali ini Abdul Hadi tidak terus masuk dengan kereta tetapi turun dimuka jalan. Beliau iringi oleh Setiausaha Politiknya Dr Samsuri... saya nampak baju Samsuri kebasahan dengan peluh kerana dihimpit orang ramai yang ingin bersalam dan mencium tangan presiden Pas itu. Saya tidak berani untuk masuk dekat takut kena batang chop orang Terengganu! Setiap kali menghulurkan salam saya nampak Hadi tersenyum puas bangga dan sukacita.
Selang lima minit kemudian Tok Guruku Nik Aziz tiba bersama isterinya. Kereta Mercedez yang membawanya bergerak perlahan masuk hingga ke pintu masuk dalam Dewan Mohd Fadzir Noor. Saya nampak tok guru besama lendek dengan isterinya Tuan Sabariah di belakang. Mukanya serius saja sementara di mulutnya saya nampak terselit penculik gigi.
Ah... mukanya serius saja. Orang ramai mengerumini untuk menatap wajahnya sambil mengambil gambar dari luar. Dalam kesesakan itu saya bergerak cuba mengekori Mercedeznya beberap tapak tetapi berundur kerana keadaan begitu sesak. Tak mengapa kalau pun tidak dapat berjabat salam dengannya, asap yang keluar dari aksus Mercedeznya yang terkuat ke hidung sudah cukup memberi kepuasan. Asap itu terasa wangi dan sampai saat ini masih belum hilang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan