GOMBAK: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub yang mengekalkan jawatanya sebagai Naib Presiden PAS selama dua penggal berturut-turut mengakui tidak mempunyai masalah untuk bekerja dengan golongan ulama dan profesional dalam kepimpinan baru parti itu.
"Kami bekerja secara kolektif untuk memberikan yang terbaik dalam memperkasakan parti bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.
Salahuddin memperoleh 753 undi, jumlah tertinggi dalam persaingan enam penjuru bagi jawatan itu.
Menurut beliau, anggota sayap tertinggi yang baru harus lebih fokus, terus bersikap relevan dan bersedia menghadapi cabaran semasa yang semakin kritikal khususnya berkaitan pilihan raya akan datang.
"Saya akan menumpukan usaha lebih gigih bagi membantu parti memenangi pilihan raya umum dengan cemerlang," ujarnya.
Diminta mengulas mengenai kemenangan itu, beliau memberitahu tidak menduga kejayaan tersebut memandangkan persaingan begitu sengit.
"Saya tak duga menang dengan undi tertinggi. Terima kasih kepada perwakilan yang masih memberi kepercayaan kepada saya untuk memegang jawatan ini," katanya.
Sementara itu, Salahuddin yakin perubahan yang berlaku dalam pucuk kepimpinan PAS menunjukkan perwakilan semakin bijak dalam menilai prestasi calon bertanding pada pemilihan kali ini.
"Bagi yang bekerja kuat dari jawatan presiden sehinggalah AJK Pusat, mereka akan mendapat tempat. Perwakilan akan mengundi berdasarkan kebijaksanaan mereka. Jadi tidak timbul masalah kepimpinan dalam golongan ulama atau profesional," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan