Ahad, 5 Jun 2011

Muhyiddin selar PAS korban prinsip Islam kerana politik

TERKINI



KUALA LUMPUR — Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa PAS mengorbankan prinsip-prinsip Islam demi kepentingan politik sedangkan parti itu sepatutnya menggunakan muktamar kali ini untuk mencari kebenaran di sebalik isu video seks didakwa membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan presiden Umno itu juga mengecam PAS bimbang kebenaran di sebalik video seks itu, yang didedahkan “Datuk T” Mac lalu, akan mencemar imej agama yang dibawa parti itu.

“Kemungkinan mereka sudah tahu latar belakang isu video itu . . . atau siapa orang dalam video,” kata Muhyiddin (gambar) di sini hari ini.

“Tetapi ia (seharusnya) telah dibawa ke muktamar mereka . . . sebagai parti politik yang diasaskan atas prinsip-prinsip Islam, mereka seharusnya mencari kebenaran,” kata timbalan perdana menteri ini selepas melawat ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di sini.

Pagi tadi muktamar 2011 PAS membincangkan usul dibawa Dewan Ulamanya, yang antara lain mengutuk sikap membisu di kalangan ulama rasmi kerajaan, yang didakwa tidak tegas dalam mengutuk tindakan penayangan video seks oleh “Datuk T”.

“Mengutuk tindakan kerajaan BN yang membenarkan video lucah dalam televisyen dan media cetak seolah-olah penayangan ini dilesenkan oleh kerajaan.

“Mengutuk sikap membisu di kalangan ulama rasmi kerajaan yang tidak tegas mengutuk tindakan yang tidak berakhlak, seolah-olah penayangan video ini mendapat restu daripada mereka,” kata usul itu.

Usul itu merujuk kepada penayangan video seks pada 21 Mac lalu kepada media-media terpilih, yang pelakonnya didakwa mirip Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat.

Anwar sudah pun menafikan dakwaan itu.

Menurut usul itu, fitnah adalah salah satu daripada dosa besar yang dikutuk oleh Allah kerana ia melibatkan maruah dan jati diri seseorang.

Umno dan media miliknya Kumpulan Utusan Malaysia menyerang PAS atas alasan mempertahankan Anwar dalam video seks itu.

Muhyiddin berkata PAS tidak seharusnya mempersalahkan Barisan Nasional (BN) berhubung isu video seks memandangkan pemimpin-pemimpin perikatan itu telah pun menafikan sebarang pembabitannya sejak awal lagi.

Kata beliau, sekurang-kurangnya PAS sepatutnya telah membahaskan ketulenan video pada muktamarnya untuk mendapatkan pandangan ahli sebelum membuat sebarang rumusan.

“Bahas sumber (video)... bagaimana ia datang, siapa lakukan, bagaimana ia melibatkan seorang pemimpin Pakatan Rakyat dan sama ada ia benar atau tidak.

“Jika pada akhirnya mereka memutuskan bahawa mereka tidak tahu kebenaran, mereka boleh meminta polis mendedahkan identiti lelaki dalam video agar rakyat tidak berada dalam gelap,” kata beliau sambil menambah, itu yang seharusnya telah dilakukan oleh muktamar tahunan PAS, bukannya menolak segala-galanya ke arah BN.

Muhyiddin juga berkata, BN tidak akan membenarkan ia digunakan sebagai kambing hitam dalam skandal video dan akan berpegang pada pendirian untuk mendapatkan kebenaran menerusi lunas perundangan.

“Kami telus. Dasar kami ialah untuk menyiasatnya, ikut saluran betul untuk menentukan dalang dan sebab-sebab di sebalik (kejadian itu),” katanya lagi.

“Malangnya bagi PAS, mereka mendakwa Islam tetapi mereka menjauhkan diri daripada jalan Islam. Mereka hanya ambil berat soal kepentingan politik dan bukannya mengenai soal mendapatkan restu Allah,” kata beliau.

1 ulasan:

dlines berkata...

BN sejak dulu lagi memerintah tak mahu gunakan Islam sebagai panduan sbb berkawan dgn MCA dan MIC..takut hilang kuasa..