Jumaat, 24 Jun 2011

Misi Gaza: Tadbiran Obama kecam, anggap usaha provokasi Israel

THE MALAYSIAN INSIDER

WASHINGTON— Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton menegaskan pihaknya menentang rancangan aktivis pro-Palestin termasuk 10 orang dari Malaysia yang mahu mengadakan misi kemanusiaan kedua ke Gaza minggu depan sambil menyifatkan ia satu tindakan yang hanya akan memprovokasi Israel.

“Kami tidak percaya misi kemanusiaan ini perlu atau satu usaha yang berguna dalam membantu penduduk Gaza,” kata beliau kepada pemberita di sini.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas Jabatan Negara memberi amaran kepada rakyat agar tidak mengambil bahagian dalam misi itu.

Israel sebelum ini melaporkan akan menghalang kehadiran misi tersebut.

Laporan Bernama Online semalam menyebut 10 sukarelawan Malaysia akan berlepas ke Athens, Ahad ini bagi menyertai misi Flotilla Kemanusiaan Antarabangsa II ke Gaza selama seminggu.

Pasukan Lifeline4Gaza (LL4G) kedua tersebut akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang.

Kira-kira 600 sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari 20 negara akan menyertai misi kali ini.

“Baru minggu ini, kerajaan Israel meluluskan komitmen yang signifikan untuk (projek) perumahan di Gaza. Bahan-bahan pembinaan akan masuk Gaza kelak,” kata Clinton (gambar).

Kata Clinton, pihaknya juga merasakan bahawa misi kemanusiaan itu yang akan boleh menyebabkan elemen provokasi ketika memasuki perairan Israel tidak akan membawa sebarang manfaat.

“Ia akan mencetuskan situasi Israel perlu mempertahankan diri mereka,” kata beliau dipetik beberapa media dari Amerika Syarikat hari ini termasuk AFP dan AP.

Jabatan Negara Amerika Syarikat juga berkata mereka yang menyertai misi itu boleh ditahan, didakwa dan dihantar pulang oleh pihak berkuasa Israel, yang telah mengatakan bahawa mereka akan menghalang sesiapa sahaja yang cuba melanggar larangan perjalanan dikenakan rejim itu sejak satu dekad lalu.

Sekumpulan 36 rakyat Amerika Syarikat akan menyertai misi kemanusiaan itu.

Pada 31 Mei 2010, komando Israel membunuh sembilan aktivis Turki termasuk seorang rakyat Amerika Syarikat, yang menaiki kapal Turki misi kemanusiaan ke Gaza.

Tiada ulasan: