Sabtu, 11 Jun 2011

Hasil referendum tentukan nasib akta majukan Kg Baru



Penduduk Kampong Baru memprotes rang Undang-undang Perbadanan Kampong Baru — Gambar fail
KUALA LUMPUR — Masa depan Rang Undang-undang Perbadanan Kampong Baru, yang pernah diprotes sebelum ini, bergantung pada hasil referendum yang disertai pemilik kawasan itu, kata lembaga pentadbir tanah milik eksklusif orang Melayu berusia 111 tahun itu.

Hari ini merupakan hari terakhir sesi penerangan berhubung rang undang-undang itu yang dipinda ekoran protes sebelum ini.

Setiap pemilik dan pewaris yang hadir diberi borang “Referendum Pembangunan Kampong Baru” untuk tujuan penilaian Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar sebelum rang undang-undang itu dibentangkan di Parlimen hujung bulan ini.

Borang itu menyenaraikan tiga soalan iaitu sama ada pemilik tanah bersetuju dengan cadangan kerajaan mahu membangunkan semula Kampung Baru, syor diadakan sebuah perbadanan pembangunan yang akan bertindak sebagai penyelaras utama dan agar pembangunan di kawasan itu dilaksanakan oleh syarikat berkaitan dengan kerajaan.

Taklimat pagi ini diadakan untuk pemilik tanah di Kampung Atas A manakala Kampung Hujung Pasir dan Kampung Periok pada sebelah petang dan disusuli oleh Kampung Atas B malam ini.

Sesi taklimat dimulakan sejak pertengahan minggu lalu. Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru Shamsuri Suradi berkata, semua pemilik dan pewaris dari tujuh kampung perlu mengisi borang itu sebagai respons terhadap rang undang-undang itu.

Terdapat lebih 4,000 pemilik tanah Kampung Baru melibatkan tujuh kampung dengan kawasan seluas 90.2 hektar.

Bagaimanapun beliau dapat memberi maklumat mengenai bilangan pewaris yang sudah pun mengambil borang referendum.

“Yang menjadi isu ialah rang undang-undang bukan pembangunan Kampung Baru, pemilik dan pewaris tanah setuju untuk bangunkan kawsan itu tapi yang jadi masalah adalah rang undang-undang.

“Isunya sekarang rang undang-undang dan masa depan bergantung kepada referendum, semua pemilik dan pewaris perlu isi borang yang diberikan sama ada mereka setuju atau tidak,” kata Shamsuri kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata pindaan ke atas rang undang-undang dibuat oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mula mendapat respons positif di kalangan pemilik dan pewaris tanah.

Rang undang-undang yang dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 14 Disember lalu mendapat bantahan keras pemilik dan pewaris tanah kerana tidak bersetuju dengan beberapa klausa yang tidak memihak kepada mereka.

“Apa-apa pun kita tunggu dulu keputusan rasmi referendum ini, kita tunggu semua selesai baru kita tahu.

“Bagi mereka yang tidak hadir dalam sesi penerangan ini, kita akan serahkan borang sama untuk mereka isi kemudian baru kita tahu suara mereka,” kata Shamsuri yang juga anak jadi Kampung Baru. Tegas beliau, keputusan rasmi akan diketahui sebelum rang undang-undang itu dibentangkan semula di Dewan Rakyat.

Tambah Shamsuri, apa-apa keputusan mengenai rang undang-undang bergantung pada suara majoriti dalam referendum.

“Kita akan ikut suara majoriti, kalau majoriti setuju kita akan teruskan... kalau tidak bersetuju, kita serah pada kementerian untuk buat keputusan dan bacaan kali kedua ini mungkin akan ditangguhkan.

“Namun kalau tiga daripada tujuh kampung setuju kita akan bangunkan di kawasan itu sahaja, mana yang tidak setuju kita tidak akan kacau,” katanya.

Rang Undang-undang Perbadanan Kampong Baru 2010 dibentang untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 14 Disember lalu bagi membolehkan penubuhan sebuah perbadanan yang bertanggungjawab merancang dan mengawal selia pembangunan Kampung Baru.

Bagaimanapun rang undang-undang itu yang dijadual dikemukakan untuk bacaan kali kedua dan dibahas pada persidangan yang berakhir Mac lalu ditangguh sehingga Jun bagi membolehkan beberapa klausa dalam rang undang-undang itu diperhalusi.

Tiada ulasan: