Rabu, 1 Jun 2011

Bot karam: 17 PATI selamat, tujuh masih hilang

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

KOTA TINGGI – Seramai 17 pendatang asing tanpa izin rakyat Indonesia selamat manakala tujuh lagi masih hilang apabila bot pancung yang mereka naiki karam akibat dipukul ombak besar dalam kejadian di kedudukan 3.5 batu nautika selatan Tanjung Ayam, perairan Pengerang, dekat sini awal hari ini, lapor Bernama Online.

Laporan setakat tengah hari tadi menyebut 13 orang diselamatkan dan 18 orang masih hilang.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Tanjung Sedili Komander Abdul Razak Johan berkata, kejadian kira-kira 4.30 pagi itu berlaku ketika bot kayu membawa 24 penumpang lelaki termasuk tekong itu dalam perjalanan keluar dari satu ‘laluan tikus’ di Sungai Rengit di sini untuk ke Pulau Batam, Indonesia.

“Bot pancung itu dipercayai bergerak dari Sungai Rengit kira-kira 2 pagi. Bot itu kemudian karam apabila dimasuki air selepas terkena ombak kuat akibat pergerakan laju sebuah feri berhampiran,” katanya hari ini.

Abdul Razak berkata Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM) dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira 7.45 pagi tadi oleh Pasukan Bertindak Maritim Singapura (MSTF) sebelum menyalurkan maklumat itu ke pusat kawalan APMM bagi melakukan gerakan mencari dan menyelamat.

Beliau berkata gerakan mencari dan menyelamat melibatkan dua bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sebuah bot Pasukan Gerakan Marin dan APMM menggerakkan empat buat bot, sebuah kapal serta dua helikopter.

Katanya, daripada 17 mangsa yang selamat, tujuh daripada mereka diselamatkan sebuah kapal dagang dari China ‘MT Hua Tuo’, enam mangsa diselamatkan bot APMM, tiga mangsa diselamatkan TLDM manakala seorang lagi oleh pengawal pantai Singapura.

Kesemua mereka katanya selamat selepas berpaut pada tong minyak, serpihan kayu bot dan tong air yang terdapat di dalam bot berkenaan.

Menurut Abdul Razak kesemua lelaki berumur 26 hingga 46 tahun itu kini ditempatkan di Kompleks Jeti Penumpang dan Marina Awam di sini, untuk direkodkan keterangan kecuali seorang daripada mereka yang berumur 28 tahun dihantar ke Klinik Kesihatan Sungai Rengit untuk menerima rawatan akibat melecur di perut.

“Kesemua mereka akan diserahkan ke pihak Imigresen untuk siasatan lanjut kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan usaha sedang digiatkan untuk mencari tujuh lagi mangsa yang masih hilang,” katanya.

Katanya, mengikut keterangan kesemua mangsa, selain bot yang mereka naiki, terdapat sebuah lagi bot berlepas bersama-sama mereka dari Sungai Rengit yang membawa kesemua pendatang asing tanpa izin wanita.

Beliau berkata, ekoran kejadian berkenaan, APMM akan mempertingkatkan rondaan di sekitar perairan Pengerang bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku kerana dipercayai ramai pendatang asing tanpa izin akan keluar dari negara ini melalui jalan tikus menjelang musim perayaan akan datang.

Tiada ulasan: