Isnin, 6 Jun 2011

Bersediakah Najib jika rakyat bangun menuntut hak?

ROKET KINI.COM



KUALA LUMPUR – Keputusan pemilihan PAS yang membawa kepada kesimbangan pimpinan parti itu adalah bukti angin perubahan terus bertiup kencang di Malaysia sejak tsunami politik 2008.

Saf kepimpinan baru PAS yang diterajui oleh presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menjadi igauan kepada UMNO yang berharap PAS menjadi lebih lemah.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata keputusan pemilihan PAS itu telah membuatkan Datuk Mukhriz Mahathir, salah seorang pemimpin UMNO yang bercita-cita besar untuk mengambil alih pucuk pimpinan negara pasca Datuk Seri Najib Razak, telah menuduh beliau (Kit Siang) dan PKR sebagai dalang dalam proses pemilihan PAS.

“Kepada Muhriz, saya katakan, tahniah atas komen anda yang liar, tidak berasas dan tidak rasional itu kerana ia adalah bukti jelas kepada semua rakyat Malaysia, khususnya golongan muda, bahawa tidak ada seorang pun dalam UMNO dan Barisan Nasional yang mampu memenuhi aspirasi perubahan untuk membina Malaysia yang bersatu, adil, demokratik, progresif, makmur dan berdaya saing,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata Najib pula, sewaktu berucap di depan 8,000 orang muda di Putrajaya baru-baru ini – yang digembar-gemburkan sebagai perhimpunan sejuta belia – mengatakan bahawa “jika di Mesir, sejuta belia berkumpul di Dataran Tahrir untuk mengubah kepimpinan negara…di Malaysia, sejuta belia berkumpul untuk mempertahankan Putrajaya.”

Menurut Kit Siang, persoalan yang harus Najib dan Mukhriz serta para pemimpin UMNO dan BN jawab adalah sama ada mereka bersedia apabila “Dataran Tahrir tiba di Malaysia”.

Beliau mengingatkan pimpinan UMNO dan BN bahawa selepas regim korup Hosni Mubarak dijatuhkan oleh rakyat, kini beberapa bekas menteri Mesir telah dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman atas kesalahan-kesalahan rasuah dan penyelewengan.

“Memang silap besar jika Perdana Menteri menyangka ada sejuta belia akan mempertahankan Putrajaya yang menjadi tampuk kuasa pusat pemerintahan regim yang tidak demokratik, kuku besi, korup dan busuk lagi buruk,” tambahnya.

Kit Siang yakin akan ada sejuta belia mempertahankan Putrajaya sebagai Dataran Tahrir – bukan untuk pertahankan Najib dan BN, tetapi demi kebebasan, demokrasi dan perubahan politik melalui cara-cara yang sah dan berperlembagaan.

Tiada ulasan: