Ahad, 12 Jun 2011

Akta Kampung Baru: Pemilik masih ragu, Putrajaya jamin tidak abai mereka

Oleh Syed Mu’az Syed Putra dan Latifah Kasmuri


KUALA LUMPUR — Sementara pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru masih kelihatan ragu, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar memberi jaminan Rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru yang sudah dipinda — bakal dibawa ke Parlimen bulan ini tidak akan mengabaikan kebajikan mereka.

Ketua setiausahanya Datuk Ahmad Phesal Talib berkata kebanyakan bantahan dikemukakan pemilik dan pewaris telah pun diambil kira dan ditambah baik melalui pindaan dibuat.

Pindaan baru yang telah dipersetujui Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) dikekalkan, kekebalan perbadanan dari segi perundangan dalam Seksyen 51 telah dipinda dan keanggotaan dalam perbadanan ditambah untuk menambah penyertaan wakil penduduk.

“Kita telah pinda klausa yang dibantah pemilik dan pewaris tanah setelah kita mengadakan perbincangan dengan tiga badan utama Kampung Baru sebelum buat keputusan ini.

“Rang undang-undang dulu kini sudah dipinda, yang baru ini kita akan bentangkan di Parlimen... dulu bacaan kali pertama kita hanya baca tajuk (rang undang-undang) tetapi bacaan kali kedua kita baca tajuk dan kandungan sekali,” kata Ahmad Phesal kepada The Malaysian Insider selepas sesi penerangan rang undang-undang kepada pemilik dan pewaris tanah Kampung Atas A, Kampung Baru di sini.

Penduduk Kampung Baru memprotes rang Undang-undang Perbadanan Kampong Baru — Gambar fail
Terdapat lebih 4,000 pemilik tanah Kampung Baru melibatkan tujuh kampung dengan kawasan seluas 90.2 hektar.

Selain Kampung Atas A, enam kampung lain adalah Kampung Atas B, Kampung Masjid, Kampung Hujung Pasir, Kampung Pindah, Kampung Paya dan Kampung Periok.

Hari ini merupakan hari terakhir sesi penerangan itu diadakan.

Justeru kata Ahmad Phesal, pemilik dan pewaris tanah tidak perlu bimbang akan kewujudan perbadanan kerana ia hanya membantu untuk menyelaras pembangunan di kawasan tanah milik eksklusif orang Melayu.

“Tidak perlu bimbang, perbadanan ini hanya sebagai penyelaras bukan pemaju.

“Perbadanan hanya membantu dan saya lihat pindaan baru yang kita buat ini mendapat respons baik daripada pemilik dan pewaris tanah,” katanya.

Beliau berharap sesi penerangan yang dilakukan dapat memberi penjelasan kepada pemilik dan pewaris tanah.

“Kita akan ikut suara majoriti, kalau ramai yang tidak setuju kita akan serah kepada kerajaan untuk buat keputusan.

“Sebab itu kita buat sesi penerangan ini supaya mereka faham apa yang ingin kita lakukan... mereka juga perlu mengisi borang untuk kita dapat maklum balas,” katanya.

Rang undang-undang yang dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat 14 Disember lalu mendapat bantahan keras pemilik dan pewaris tanah kerana tidak bersetuju dengan beberapa klausa yang tidak memihak kepada mereka.

Ekoran bantahan itu, rang undang-undang yang sepatutnya dibentangkan kali kedua Mac lalu ditangguhkan sehingga bulan ini bagi membolehkan beberapa klausa diperhalusi.

Ditanya mengenai reaksi Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali, Ahmad Phesal berkata sekiranya wakil rakyat PAS itu tidak bersetuju beliau boleh membahaskannya di Parlimen.

“Kalau tak setuju bahaskan sahaja di Parlimen nanti,” katanya.

Minggu lalu Lo’ Lo’ berkata sesi penerangan yang dianjurkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar hanya kosmetik kerana rang undang-undang sudah masuk ke Dewan Rakyat, melainkan rang undang-undang sedia ada ditarik semua sekali dan dibentangkan yang baru dengan pindaan kepada penduduk terlebih dahulu sebelum dibentang di Parlimen.

Menurutnya, mana mungkin sempat berbuat apa-apa pindaan terhadap rang undang-undang pada sidang Parlimen yang bermula minggu ini.

Dalam pada itu, beberapa pemilik dan pewaris Kampung Baru yang ditemui The Malaysian Insider berkata mereka masih tidak jelas dengan peruntukan Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru.

Salah seorang penduduk Samsuddin Abd Ghani, 60 berkata, dia tidak bersetuju dengan rang undang-undang itu kerana ia masih belum dibahas di Parlimen.

“Penduduk atau pewaris, kebanyakannya tidak setuju dengan rang undang-undang yang disenaraikan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar walaupun dipinda berulang kali,” ujarnya.

Dia turut tegas mempertahankan supaya Kampung Baru tidak dibangunkan.

Jelasnya, sebagai anak jati Kampung Baru, dia tetap mempertahankan kawasan itu daripada diambil oleh bangsa asing atau kaum Melayu sendiri dan diberi kepada pemilik asing.

Samsuddin menambah, dia mahu membangunkan Kampung Baru tetapi dengan cara sendiri.

“Kami mempunyai tenaga pakar sendiri dari kawasan ini. Mereka juga merupakan anak penduduk di sini dan memiliki kepakaran yang profesional.

“Dengan tenaga pakar mereka inilah, kami gunakan untuk membangunkan Kampung Baru dengan cara sendiri,” katanya.

Bagaimanapun dia tidak menafikan pembangunan jika ada pihak atasan turun padang untuk berunding sendiri dengan penduduk Kampung Baru.

“Kalau boleh, saya mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak datang jumpa penduduk Kampung Baru.

“Beliau sendiri bertanya bagaimana hendak bangunkan sehingga tetap jadi milik penduduk ini. Barulah kita puas hati,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk yang tinggal di kawsan itu sejak 1969, Baharudin Jalil berkata dia bersetuju dengan pembangunan Kampung Baru.

Katanya, pembangunan tidak menjadi masalah.

Perkara yang dia masih musykil hanya berkenaan perbadanan.

“Sebelum ini, ramai penduduk bersetuju menjalankan pembangunan tanpa perbadanan kerana kami pernah persoalkan, apa fungsi perbadanan? Apa tugas mereka?

“Namun, mereka (Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar) tetap wujudkan perbadanan,” ulasnya.

Dalam pada itu, Ismail Mohamad, 65, berkata, dia juga bersetuju untuk membangunkan Kampung Baru tetapi pindaan rang undang-undang dipertikaikan.

“Saya setuju pembangunan ini tetapi saya mahu tahu lebih mendalam, apa yang penduduk akan dapat? Adakah pembaharuan sesuai atau tidak?

“Pindaan rang undang-undang pula, saya mahu ia dipertikaikan supaya lebih bersifat telus,” katanya.

Norazam Mohamed pula berkata dia mahu jaminan supaya pindaan pada rang undang-undang benar-benar dimasukkan apabila dibawa ke Parlimen nanti.

Katanya, dia mahu bacaan pertama dibatalkan dan pindaan yang dijanjikan dibahaskan demi memudahkan perjalanan membangunkan Kampung Baru.

“Ini untuk mengelakkan timbulnya sebarang keraguan kepada penduduk,” katanya.

Sementara itu, Ibrahim Hassan pula berkata, dengan pembangunan kawasan ini, semua orang mendapat untung.

Jelasnya, tiada siapa yang akan rugi kelak.

“Saya mahu semua perkara diselesaikan segera supaya pembangunan dapat dilaksanakan,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: