Isnin, 22 November 2010

PKR: Keputusan akhir pemilihan diumum Ahad, tiada kaitan kes saman

PETALING JAYA – PKR hanya akan mengumumkan keputusan rasmi akhir pemilihan ketika kongres nasional Ahad ini, tetapi menafikan keputusan itu ada kaitan dengan tindakan saman bekas timbalan setiausaha agung parti.

“Kita akan umumkan Ahad ini,” kata beliau Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media hari ini.

Kongres Nasional PKR akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini.

Semalam adalah hari terakhir cabang-cabang PKR mengadakan proses pengundian.

Sebanyak 218 daripada 222 cabang PKR berjaya mengadakan pemilihan untuk memilih pemimpin Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.

Proses pengundian pemilihan pusat secara berperingkat bermula 29 Oktober lalu dan keputusan diumumkan setiap minggu.

Tetapi keputusan minggu akhir tidak diumumkan hari ini.

Saifuddin menolak ia ada kaitan dengan permohonan mahkamah difailkan oleh bekas timbalan setiusaha agung PKR P. Jenapala bagi menghalang PKR mengisytiharkan pelantikan barisan MPP yang baru.

“Beliau sudah sudah bankrap dan sudah dipecat daripada parti tapi beliau tidak boleh menerima hakikat ini,” katanya.

Permohonan Jenapala bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau layak bertanding jawatan timbalan presiden parti itu akan didengar di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) di sini, Khamis ini.

Hakim Datuk AZiah Ali menetapkan tarikh tersebut selepas menemui peguam kedua-dua pihak di kamarnya hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah tidak akan mendengar permohonan injunksi yang dipohon oleh Jenapala bagi menghalang PKR daripada mengumumkan keputusan pemilihan jawatan timbalan presiden pada hari itu.

Peguam Ranjit Singh dan Razlan Hadri, yang mewakili PKR, telah memberi jaminan bahawa keputusan pemilihan jawatan itu hanya akan diumumkan semasa Kongres Kebangsaan parti itu, Ahad ini.

Ranjit berkata perlembagaan PKR jelas menyatakan bahawa keputusan rasmi pemilihan hanya boleh diumumkan semasa konvensyen parti tersebut

Pada Khamis lepas, Jenapala memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memohon pengisytiharan bahawa beliau layak bertanding jawatan timbalan presiden PKR.

Pada hari berikutnya, beliau memfailkan afidavit sokongan bagi menyokong permohonannya untuk mendapatkan perisytiharan bahawa pemilihan jawatan timbalan presiden parti itu adalah tidak sah dan terbatal.

Dalam samannya, beliau menamakan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, timbalannya Dr Syed Husin Ali dan Saifuddin.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, peguam yang mewakili Jenapala, James Khong berkata keputusan bagi mendengar permohonan anak guamnya hanya akan diketahui selewat-lewatnya Jumaat ini.

“Hari ini kami masuk ke mahkamah, kemudian wakil PKR menyerahkan aku janji kepada hakim (Aziah).

“Dalam aku janji itu menyebut bahawa PKR tidak akan mengemukakan keputusan pemilihan PKR bagi jawatan timbalan presiden sehingga Ahada ini ketika Kongres Nasional, jadi PKR tidak akan kemukakan keputusan itu sehingga Ahad ini.

“Sementara itu, pelupusan perbicaraan saman pemula Jenapala ditetapkan Khamis ini.

“Sekiranya mahkamah tidak dapat membuat keputusan sehingga Jumaat ini, mahkamah akan mendengar hujah kedua-dua pihak sama ada PKR boleh kemukakan keputusan pemilihan pada Ahad ini ataupun tidak. Itu sahaja,” katanya.

Menurut Saifuddin, Kongres Nasional PKR akan memberikan tumpuan kepada pengukuhan dan memperkuatkan parti.

“Kita akan memberikan tumpuan kepada ucapan dasar presiden yang mana ia akan memberi fokus kepada pengukuhan dan keupayaaan parti sebagai sebuah parti berbilang kaum dengan keanggotaan 50 peratus Melayu, 23 peratus India, 12 peratus Cina dan 5 peratus Sabah dan Sarawak yang dinamik dan berdaya saing.

“Malah kita juga akan memberi tumpuan dalam mengukuhkan imej PKR sebagai sebuah parti masa depan yang telah melaksanakan beberapa inovasi baru termasuk pemilihan secara langsung.” katanya.

Selain itu, menurut Saifuddin, tumpuan juga akan diberikan kepada beberapa topik penting termasuk pendidikan, ekonomi dan juga komitmen parti dalam isu-isu penting.

Beliau juga berkata tumpuan terhadap memperkukuhkan Pakatan Rakyat turut akan dibawa ketika kongres tersebut.

“Kita akan beri tumpuan kepada komitmen PKR dalam mengukuhkan Pakatan Rakyat dalam menyaingi Barisan Nasional (BN).

“Kita mahu parti menjadi sebagai alternatif yang berkesan dalam Pakatan Rakyat,” katanya.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, selepas berakhirnya pemilihan PKR semalam sebanyak 22 peratus ahli telah keluar menjalankan tanggungjawab masing-masing.

“Hari terakhir pengundian jumlah yang keluar mengundi adalah sebanyak 13.6 peratus dan minggu lalu pula adalah 8.4 peratus yang keluar.

“Ia melibatkan kira-kira 30,000 ahli parti yang telah menjalankan tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata kejayaan parti menjalankan proses pengundian secara langsung ini adalah satu permulaan yang baik untuk PKR meneruskan proses yang sama pada masa akan datang.

“Ini adalah proses pemilihan yang pertama kali diadakan di Malaysia, jadi kita tidak boleh bandingkan dengan mana-mana parti sama ada Umno, MCA dan MIC.

“Tapi saya anggap ini merupakan satu permulaan yang baik untuk kita teruskan pemilihan ini pada masa akan datang,” katanya.

Seramai 2,460 perwakilan dan 1,025 pemerhati yang berdaftar akan hadir ketika kongres tersebut.

Tiada ulasan: