Rabu, 3 November 2010

Perarakan parti menang tidak dibenarkan

BERNAMA

GUA MUSANG -- Polis tidak membenarkan sebarang perarakan parti yang menang sama ada Barisan Nasional (BN) dan Pas selepas keputusan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada malam esok.

Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata polis juga tidak membenarkan mana-mana penyokong parti membawa bendera besar dengan dilekatkan pada kenderaan kerana ianya menyalahi peraturan 18 Kaedah Akta Pengangkutan Jalan yang boleh dikenakan tindakan saman.

"Secara umumnya proses kempen pilihan raya DUN Galas berjalan secara aman, kami hanya mengeluarkan 57 permit ceramah sahaja," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sehubungan itu, polis memberi jaminan proses pembuangan esok akan berlaku di dalam keadaan aman dan polis telah menyediakan anggota secukupnya untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin.

"Saya minta semua pengundi keluar awal, pihak polis akan mengawal kelancaran trafik dan keselamatan awam. Gunalah peluang ini untuk melaksanakan hak anda," katanya.

Beliau berkata pihaknya menerima 10 laporan kesalahan kecil di bawah Akta Pilihan Raya 1954 seperti membakar bendera dan mengoyakkan bendera. Katanya kesemua mereka yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan telah diambil keterangan dan dibebaskan semula atas jaminan polis.

Katanya kesemua kertas peti undi di kawasan pedalaman melibatkan Pos Hau, Pos Bihai, Pos Balar dan Pos Belatim telah dihantar dengan helikopter pada 10 pagi ini dengan diiringi anggota polis yang bertugas.

Tiada ulasan: