Rabu, 10 November 2010

JPP akan putuskan tindakan Zaid

saiffudin-nasution-ismailOleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Setiusaha Agong PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) akan membuat keputusan lanjut sama ada menerima penarikan diri calon timbalan presiden Datuk Zaid Ibrahim menerusi laman blognya.

Keputusan itu dibuat memandangkan Zaid masih belum menghantar surat rasmi kepada JPP.

"Kami belum terima hitam putih daripada Zaid. JPP akan berbincang dan membuat keputusan sama ada untuk menerima apa yang dimaklumkan dalam blognya sebagai keputusan rasmi penarikan beliau.

"Kami akan membuat keputusan secepat mungkin sebelum minggu depan," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Ketika ditanya sama ada tindakan disiplin akan dikenakan terhadap Zaid, Saifuddin berkata perkara itu akan dibuat sehingga ada aduan.

"Kami akan ambil tindakan sekiranya wujud aduan terhadap beliau. Sehingga ada aduan baru boleh dilaksanakan," katanya.

6 cadangan Zaid dilaksanakan

Saifuddin menafikan dakwaan wujud manipulasi dalam pemilihan kali ini memandangkan enam dari tujuh cadangan dikemukakan Zaid pada 5 Oktober lalu telah dilaksanakan.

Namun katanya, hanya cadangan mengenai peti undi yang telus cahaya sahaja gagal dilaksanakan ekoran memerlukan bajet yang tinggi untuk hal itu.

"Enam daripada tujuh cadangan itu telah dilaksanakan membabitkan pelantikan ejen untuk setiap calon di setiap pusat mengundi, kertas undi yang mempunyai nombor siri, senarai ahli yang sah diterima sebelum 27 Jun diteima untuk mengundi, tentang kepatuhan
masa dan pembayaran untuk ahli.

Katanya, sepanjang minggu pertama pemilihan yang membabitkan 68 cabang, Zaid menang dengan 38 cabang menyokong beliau, manakala Azmin Ali dengan 37 cabang dan Mustaffa Kamil Ayub (11).

Di cabang Kubang Pasu, Zaid dan Azmin dilaporkan seri. "Hakikatnya, Zaid sudah menerima pencalonan yang tertinggi dalam separuh masa pemilihan ini. Namun Azmin masih mendahului kerana mobilisasi jenteranya lebih baik berbanding calon lain. Maka itu diluar jangkaan JPP mahupun sekretariat.

"Zaid cuba memberi komen yang membabitkan parti. Itu sebab kenapa undi berkurangan. Penilaian telah dibuat oleh ahli malah tiada serangan terbuka rerhadapnya," kata Saifuddin yang juga ahli parlimen Machang.

Katanya, setakat pemilihan pusat berlangsung pihaknya hanya menerima enam aduan, dua daripada Zaid dan selebihnya daripada ahli parti.

Saifuddin menjelaskan tiga aduan itu masing-masing diterima dari Pulau Pinang, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Dua aduan Zaid itu membabitkan kertas undi di Kubang Pasu dan serta pihak pengawas, manakala selebihnya berkaitan dengan proses pemilihan oleh ahli parti.

Beliau turut menafikan kesemua aduan yang diterima wujud pembelian undi serta tiada aduan diterima daripada Mustaffa.

"Kami belum terima memorandum daripada sesiapa lagi setakat ini," katanya.

Calon diminta serah aduan kepada JPP

Sementara itu, beliau menggesa agar setiap aduan diserahkan kepada JPP dari memberi sebarang ulasan di luar.

Tanpa merujuk pada mana-mana calon, Saifuddin berkata sebarang ketidakpuasan hati perlu disalurkan kepada parti bagi membolehkan pemilihan berjalan dengan lancar.

Beliau berkata proses pemilihan tetap dijalankan walaupun parti menerima kritikan negatif daripada Zaid mahupun Mustaffa.

"Kita tetap akan teruskan proses pemilihan. Kita tidak akan tangguh dan akan teruskan pemilihan seperti biasa," katanya.

Dijadualkan 135 cabang lagi akan meneruskan pengundian sebelum Kongres Nasional mengambil tempat pada penghujung November ini.

Kongres akan bermula 26 sehingga 28 November di Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Keputusan bagi calon yang menang juga akan diumumkan di Kongres itu kelak.

Tiada ulasan: