Selasa, 2 November 2010

Galas: Tindakan empat siswa tunggu laporan polis

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi akan hanya memutuskan bentuk tindakan terhadap empat penuntut institusi pengajian tinggi, yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas selepas menerima laporan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, Kelantan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah bagaimanapun berkata jika peristiwa sedemikan berlaku, lazimnya kementerian akan dimaklumkan dan kemudian menyerahkan kepada pihak universiti untuk menjalankan siasatan.

“Dalam hal ini, polis sudah pun melakukan sisatan. Oleh itu, kita akan melihat apakah tindakan yang boleh dilakukan selanjutnya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Kelmarin, empat mahasiswa itu Ahmad Syukri Che Ab. Razab, Mohd Rijaludeen Mohd Anwar, Mohd Yusof Hadhari dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli ditahan polis kira-kira 1.30 tengah hari ketika menyebarkan risalah menyeru penduduk tempatan menggunakan hak demokrasi mereka untuk mengundi.

Mereka kemudiannya dibawa ke IPD Gua Musang untuk disoal siasat sebelum dibebaskan pada 9.15 malam hari yang sama.

Terdahulu, sekumpulan mahasiswa terdiri daripada anggota Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) termasuk empat mahasiswa yang ditahan itu menyerahkan memorandum kepada Saifuddin meminta agar Akta Universiti dan Kolej Universiti dimansuhkan.

Saifuddin berkata pihaknya sentiasa terbuka dan bersedia mendengar sebarang pandangan dan cadangan daripada mana-mana pihak mengenai akta itu.

Tiada ulasan: