Selasa, 16 November 2010

DUN Selangor lulus usul buka semula Institut Kemahiran Yayasan

BERNAMA

SHAH ALAM – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan usul supaya kerajaan negeri mempertimbangkan bagi membuka dan meneruskan semula operasi Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS).

Saari Sungib (PAS-Hulu Kelang) semasa membentangkan usul itu berkata keputusan kerajaan negeri menutup operasi IKYS dan memindahkan pelajarnya bagi menamatkan kursus ke INPENS International College, dari segi jangka panjang tidak menguntungkan industri pendidikan di Selangor.

“Penutupan IKYS ini juga boleh mengabaikan tanggungjawab sosial kerajaan negeri terhadap rakyat,” katanya.

Sebelum ini Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo telah mempertikaikan tindakan kerajaan negeri menutup IKYS di Bagan Terap Sabak Bernam Julai lepas kerana institusi kemahiran ini telah melatih ramai anak-anak muda dengan kemahiran vokasional seperti kemahiran pendawaian dan menyelenggara penghawa dingin.

Beliau berkata sepatutnya institusi seperti IKYS dikembangkan ke seluruh negeri bagi memberi latihan kemahiran kepada ramai lagi anak muda di Selangor supaya mereka boleh mendapat pendapatan yang lebih baik.

Saari juga membentangkan usul menggesa kerajaan negeri untuk menyediakan laporan lengkap untuk dibentangkan di DUN tentang asas-asas tindakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengecilkan operasinya dengan menutup beberapa anak syarikatnya yang bermasalah.

Selain daripada mengecilkan operasinya yang bermula pada tahun ini, PKPS turut menamatkan perkhidmatan kakitangan yang sudah lama berkhidmat dengan Kumpulan PKPS, katanya.

Saari berkata kesan daripada keputusan itu telah menimbulkan kesulitan besar terhadap kakitangan yang kehilangan pekerjaan.

Beliau berkata memang perlu kerajaan negeri menyusun semula operasi PKPS yang merekodkan kerugian tetapi kebajikan para pekerja perlu diambil kira.

Usul itu kemudian diluluskan.

Dewan juga meluluskan usul yang dibentangkan oleh Saari untuk menggesa kerajaan negeri untuk mengarahkan amalan memberi elaun untuk menandatangani cek kepada Pengerusi dan Pengarah PKNS Infra Bhd dihentikan serta merta.

Saari turut menggesa supaya penerima elaun itu yang masih memegang jawatan memulangkan kembali seluruh jumlah yang diterima kepada syarikat.

Semasa membentangkan usul itu Saari berkata Pengerusi PKNS Infra menerima RM500 sebulan daripada elaun menandatangani cek itu manakala tiga hingga empat pengarah memperolehi elaun berjumlah RM400 sebulan seorang.

Beliau berkata kelemahan ini telah didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2008 dan jumlah elaun yang dibayar sepanjang tahun itu ialah RM187,800.

Saari juga mengusulkan kepada dewan untuk meneliti dan membuat keputusan segera supaya menutup anak syarikat PKNS Infra, Excelon Sdn Bhd kerana mengalami kerugian selepas sembilan tahun beroperasi dan cadangan ini diluluskan ahli dewan.

Sejumlah 23 usul telah dibentangkan dan dibahaskan semasa sidang dewan undangan negeri yang bermula pada 8 November lepas yang berakhir hari ini.

Pada hari ini sahaja sejumlah 14 usul dibentangkan, dibahaskan dan diluluskan, termasuk Usul Anggaran Peruntukan Pembangunan 2011 berjumlah RM600 juta.

Daripada RM600 juta itu, sejumlah besar iaitu RM225 juta diperuntukkan di bawah Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Kerja Raya RM153.1 juta, Jabatan Agama Islam Selangor RM110.6 juta, Jabatan Pengairan dan Saliran RM45 juta.

Pada sidang kali ini dewan juga meluluskan Enakmen Industri Berasas Kayu (Pindaan) 2010 dari enakmen asal Enakmen Industri Berasas Kayu 1985.

Antara pindaan yang diluluskan ialah meminda Seksyen 17 Enakmen asal untuk menaikkan denda dari RM5,000 kepada RM20,000 bagi kesalahan mengganggu barang-barang yang disita di bawah enakmen itu.

Seksyen 20 Enakmen itu dipinda untuk menaikkan denda daripada RM2,000 atau satu tahun penjara atau kedua-duanya kepada denda RM20,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya kerana menghalang pegawai hutan menjalankan kuasanya di bawah enakmen itu.

Tiada ulasan: