Sabtu, 6 November 2010

DUN Galas: Ku Li tak sangka BN menang besar



Aziz (songkok hitam) berhadapan dengan selepas kemenangannya. — Gambar oleh Choo Choy May

GUA MUSANG — Tengku Razaleigh Hamzah tidak menyangka Barisan Nasional (BN) akan menang dengan majoriti besar — hampir dua kali ganda — pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas hari ini.

Calon BN Abdul Aziz Yusoff mendapat 5,324 iaitu 56 peratus undi yang dibuang manakala calon PAS Dr Zulkefli Mohamad menerima 4,134. Undi rosak sebanyak 132.

Abdul Aziz merekodkan majoriti sebanyak 1,190.

“Saya rasa besar hati kerana pengundi Galas memberikan sokongan kuat kepada BN.

“Saya tidak jangka akan menang majoriti besar.

“Malah saya terkejut apabila saluran tiga dan saluran empat iaitu pengundi muda lelaki dan wanita memilih BN,” kata Tengku Razaleigh ketika ditemui di kediamannya di Bukit Cekati di sini.

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga menyifatkan kemenangan BN di DUN Galas membuktikan bahawa rakyat di kawasan itu mahukan perubahan.

“Ini menunjukkan mesej jelas dalam pilihan raya kecil ini bahawa rakyat mahukan perubahan di sini.

“Rakyat inginkan perubahan dan kita akan bawa perubahan ini, saya lihat sokongan pemuda cukup tinggi, nampak mereka mahu perubahan kerana sudah lama menunggu, mereka hendak pembangunan yang boleh memberi manfaat kepada mereka,” kata Tengku Razaleigh yang juga Pengarah Pilihan Raya BN DUN Galas.

Tambahnya, strategi yang digunakan sepanjang kempen pilihan raya kecil itu dengan memberikan fokus kepada “pertandingan persabatan” perlu diamalkan dalam pilihan raya seterusnya.

“Apa pun saya sangat berpuas hati dengan perjalanan pilihan raya kecil ini, saya mengucapkan terima kasih kepada penyokong serta pengundi dan jentera yang berkorban dalam pilihan raya kecil ini,” katanya.

Tengku Razaleigh juga yakin Abdul Aziz mampu menjalankan tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas dengan bertanggungjawab dan adil.

“Saya percaya beliau (Abdul Aziz) mampu memikul tanggungjawab ini, kalau beliau tidak mampun saya akan bantu beliau.

“Kalau saya tidak mampu bantu beliau, BN pusat akan bantu,” katanya.

Menurutnya, pendekatan melalui media baru yang lebih bebas sepatutnya digunakan bagi memikat hati rakyat.

“Masa sudah sampai untuk kita bebaskan media supaya tidak dikawal begitu ketat.

“Memang wajar pertimbangkan supaya media dibebaskan supaya tidak begitu dikawal,” kata beliau.

Sementara itu, Abdul Aziz ketika ditemui berkata kejayaannya dalam pilihan raya kecil DUN Galas adalah kejayaan untuk rakyat.

“Saya bersyukur kerana menang hari ini. Kedua saya mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi dan ketiga saya ucapkan terima kasih kepada jentera yang telah banyak bantu saya begitu juga dengan pemimpin parti.

“Saya akan jumpa dengan pengundi untuk ucapkan terima kasih.

“Kejayaan ini bukan kejayaan saya tapi kejayaan rakyat,” katanya.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian Che Hashim pada 27 September lalu akibat barah usus.

DUN Galas mempunyai 11,553 pengundi berdaftar. Seramai 9,555 pengundi atau 82.71 peratus keluar mengundi pada pilihan raya kecil DUN Galas berbanding 81 peratus pada pilihan raya umum 2008

Tiada ulasan: