Rabu, 24 November 2010

Akta baru: Pakatan cabar Putrajaya temui pemilik Kg Baru sebelum bawa ke Parlimen



Tindakan Raja Nong Chik dikatakan seperti menafikan hak pemilik tanah Kampung Baru. — gambar fail

KUALA LUMPUR — Pakatan Rakyat mencabar Putrajaya membentangkan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru kepada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru terlebih dahulu sebelum ia dibawa ke Parlimen bulan depan.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, rang undang-undang tersebut tidak boleh dibentangkan di Parlimen tanpa mendapat persetujuan pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru terlebih dahulu.

Justeru, beliau mencabar Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin memaklumkan butiran kepada penduduk sebelum dibahaskan di Parlimen, di mana perbadanan itu dijangka mula beroperasi tahun depan.

“Saya nak tanya kepada beliau (Raja Nong Chik) kenapa takut sangat nak bentangkan rang undang-undang (Perbadanan Pembangunan Kampung Baru) ini kepada penduduk di Kampung Baru?

“Apa yang hendak disembunyikan sehingga tidak mahu bentangkan kepada penduduk dulu?” kata beliau.

Sepatutnya tegas beliau, sebarang keputusan yang hendak dibuat perlu mendapat persetujuan daripada pemilik-pemilik tanah.

“Selepas dapat persetujuan pemilik tanah baru ia boleh dibentangkan di Parlimen. Ini kerana pemilik tanah tahu apa yang mereka mahu, saya tidak boleh buat keputusan kerana ia adalah hak pemilik tanah di sini (Kampung Baru),” kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini ketika berucap pada ceramah umum “Penubuhan Perbadanan Kampung Baru — Rampasan atau Pembelaan” di Kelab Sultan Sulaiman di sini malam tadi.

Beliau berkata tindakan Raja Nong Chik tidak membentangkan rang undang-undang itu kepada pemilik tanah Kampung Baru seolah-olah menafikan hak pemilik tanah untuk mengetahui rancangan pembangunan di kawasan itu.

“Persoalannya sekarang, Raja Nong Chik kata ia akan dibentang di Parlimen tetapi adakah ia mendapat persetujuan daripada pemilik tanah?

“Sepatutnya beliau perlu jumpa dan berbincang dengan pemilik tanah sebelum nak buat apa-apa keputusan, ini adalah demi masa depan Kampung Baru.

“Kita tidak akan bertolak ansur dalam perkara ini. Kita akan pastikan rang undang-undang ini mendapat persetujuan pemilik tanah dengan syarat-syarat yang dikehendaki,” katanya di hadapan kira-kira 100 orang terdiri daripada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru.

Mahfuz (kiri) juga menyifatkan masa depan pemilik tanah Kampung Baru tidak akan terjamin sekiranya mereka bersetuju dengan rang undang-undang yang bakal dibentangkan itu.

“Umno cakap nak mempertahankan orang Melayu tetapi sekarang kita lihat pemimpin Umno juga yang mahu menghalau orang Melayu di Kampung Baru ini.

“Inilah sikap mereka, hanya tahu fikir soal politik sahaja. Ada sahaja peluang boleh memanipulasi mereka akan lakukan supaya orang Melayu akan benci kepada Pakatan Rakyat.

“Pemimpin Umno ini tidak prihatin kepada masa depan orang Melayu terutamanya di Kampung. Kita tidak halang pembangunan tetapi mahukan jaminan apa hak milik yang akan kekal untuk pemilik dan pewaris tanah di sini,” katanya.

Raja Nong Chik sebelum ini berkata, Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru akan dibentangkan di Parlimen pada sesi Dewan Rakyat semasa.

Beliau berkata draf rang undang-undang itu telah diserah kepada kepada Jabatan Peguam Negara untuk diperhalusi sebelum dibentangkan.

Raja Nong Chik berkata, antara inti pati draf ialah perbadanan itu dijadikan badan pengawal dan penyelaras terhadap pembanguan Kampung Baru dan ia akan beroperasi tahun depan.

“Perbadanan berfungsi untuk mempertahankan ciri-ciri Melayu termasuk penglibatan pemilik dan pewaris dalam peringkat lembaga pengarah dan lembaga penasihat,” katanya.

Kawasan Kampung Baru Kuala Lumpur yang berusia 110 tahun dan meliputi tujuh buah kampung terletak di atas tanah seluas 90.2 hektar. Kawasan itu kini didiami sekitar 35,000 orang.

Turut hadir memberikan ceramah adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Batu Tian Chua.

Nurul Izzah berkata, Kampung Baru mempunyai nilai sejarah yang tinggi dalam sejarah Malaysia, jadi ia perlu dikekalkan sebagai simbol orang Melayu di Kuala Lumpur.

“Kampung Baru ini adalah aset yang tidak ternilai kepada negara, jadi sebagai rakyat kita perlu mempertahankan dan menjaga khazanah negara ini.

“Saya tidak mahu bila Perbadanan Pembangunan Kampung Baru ini ditubuhkan, ia hanya akan menjaga kepentingan sekelompok kecil bukan keseluruhan penduduk di sini.

“Saya juga tidak mahu kata-kata kosong kononnya mahu menjaga hak orang Melayu akhirnya hanya bersifat politik semata-mata. Jadi sebagai penduduk kita perlu mempertahankan khazanah ini,” katanya.

Justeru, Nurul Izzah berkata, penduduk di Kampung Baru perlu bersatu dan jangan biarkan penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru akan menjejaskan masa depan kawasan itu.

“Kita tidak mahu melihat bangunan pencakar langit di sini tetapi apa yang kita mahukan pembangunan yang dijalankan menonjolkan imej orang Melayu.

“Jadi kita harap penduduk dan pemilik tanah boleh meneliti dan menilai setiap cadangan yang dikemukan sebelum membuat keputusan,” katanya.

Bagi Tian Chua, Kampung Baru merupakan satu nilai sejarah yang amat bernilai kepada negara dan ia perlu dikekalkan sebagai khazanah penting yang dinafikan oleh pemimpin Umno.

“Kampung Baru ini adalah kampung tradisi yang mana ia ada nilai sejarah yang amat penting kepada pembangunan negara sejak dari dulu lagi.

“Jadi sebagai rakyat kita harus faham apa perancangan yang dibuat oleh kerajaan dalam membangunkan Kampung Baru kerana pemimpin Umno ini hanya melihat kepada wang ringgit, bukan kebaikan kepada rakyat.

“Dalam mata mereka, hanya wang ringgit... itu sahaja yang difikirkan. Bagi mereka tanah sama sahaja dengan wang ringgit,” katanya.

Pengarah Strategi PKR itu juga berkata tanggungjawab mempertahankan Kampung Baru ini bukan terletak di bawah tanggungjawab orang Melayu sahaja tetapi semua kaum di negara ini.

“Ini adalah kampung tradisi orang Melayu, kenapa kita harus mempertahankannya? Bagi saya semua orang mempunyai tanggungjawab untuk mempertahan Kampung Baru, saya juga bertanggungjawab.

“Jadi saya harap penduduk di Kampung Baru tidak terpedaya dengan taktik Umno ini. Pertahankan Kampung Baru demi masa depan orang Melayu,” katanya.

Isu Kampung Baru telah berlarutan sejak beberapa lama apabila kerajaan Umno Barisan Nasional, Pakatan Rakyat yang menguasai Selangor serta beberapa pihak swasta masih tidak mendapat persetujuan mengenai corak pembangunan dengan pemilik dan penduduk penempatan Melayu terbesar di Kuala Lumpur ini.

Tiada ulasan: