Rabu, 24 November 2010

Air Nadi Kehidupan

Faisal Mustaffa da Lingswaran Singh

Pada tahun 2002, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Jawatankuasa Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya telah menerangkan bahawa air bersih adalah sebahagian daripada hak asasi manusia. Menurut jawatankuasa tersebut, hak ke atas air penting kerana air adalah suatu keperluan utama dalam memastikan taraf kesihatan dan taraf kehidupan yang baik. Memandangkan air satu hak asasi manusia, kerajaan haruslah bertanggungjawab untuk menghormati hak tersebut, melindungi hak tersebut dan memenuhi keperluan hak tersebut.

Walau bagaimana pun di negara ini, seperti juga hak-hak dan kebebasan lain yang dinoda, hak asasi ke atas air pula menjadi mangsa terbaru. Di Selangor, bekalan air telah diswastakan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor. Tarif air di Selangor dijangka naik 25% pada tahun 2012 dan sebanyak 20% pada tahun 2015 melalui perjanjian konsesi yang diluluskan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2005. Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan skim bekalan air percuma 20 meter padu bernilai RM11.40 pada 1 Jun 2008.

Entah mengapa, Puncak Niaga mengumumkan kerugian mereka sejak tahun 2008. Keuntungan yang dicatat pada tahun 2005 iaitu sebanyak RM364.5 juta jatuh kepada RM21.57 juta pada tahun 2008. Yang pelik lagi ganjil adalah hakikat bahawa jumlah keseluruhan hutang syarikat-syarikat air di Selangor adalah sebanyak RM6.4 billion, akan tetapi syarikat-syarikat itu terus membayar dividen kepada pemilik sahamnya, dividen yang telah dibayar setakat ini bernilai RM700 juta. Apa yang lebih menarik adalah hakikat bahawa Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pinjaman tanpa faedah tanpa sekuriti bernilai RM320.8 juta supaya SYABAS boleh melangsaikan hutang-hutangnya. Kerajaan Persekutuan juga sedang mempertimbangkan pinjaman tambahan sebanyak RM1 billion menjelang hujung tahun ini.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Ketua Pengurus Eksekutif SYABAS adalah Rozali Ismail yang juga merupakan bendahari UMNO Selangor, dengan gaji RM5.1 juta setahun hasil daripada perlantikan di SYABAS. Syarikat itu juga pada tahun 2005 telah mengimport paip-paip bernilai RM375 juta daripada sebuah syarikat Indonesia yang dimiliki Rozali Ismail. Hampir 72% daripada kontrak SYABAS yang bernilai hampir RM600 juta telah diberikan kepada syarikat tersebut secara rundingan terus dan bukannya secara tender terbuka.

Kerajaan Negeri Selangor pula telah mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan satu model pengurusan air yang menyeluruh, sebagai penyelesaian untuk mengurangkan tarif air di Selangor. Bagi tujuan tersebut Kerajaan Selangor telah mencadangkan penubuhan satu entiti baru dengan keuntungan operasi yang paling rendah iaitu sekitar 0-1% bagi pengurusan air di Selangor. Usaha kerajaan Selangor untuk mengembalikan air kepada rakyat ini tidak disenangi oleh beberapa pihak yang sudah lama memperoleh faedah daripada keuntungan yang dicatat oleh Puncak Niaga, syarikat induk SYABAS.

Sifat yang ditunjukkan oleh syarikat swasta yang memperoleh konsesi air, khususnya SYABAS, ialah berorientasikan keuntungan dan bukannya kepentingan rakyat sebagaimana yang sepatutnya dilakukan oleh syarikat milik Kerajaan Persekutuan. Barangkali kita boleh mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Mumbai. Sejak dua tahun kebelakangan ini, Mumbai telah mengalami krisis air yang serius, kebanyakan tempat hanya menerima air selama 30 minit sehari. Mumbai kini melihat kepada alternatif menakung air hujan sebagai bekalan air bersih.

Municipal Corporation of Greater Mumbai (MCGM) telah mencadangkan agar bekalan air di Mumbai diswastakan, kononnya untuk memperbaiki mutu bekalan air ke seluruh Mumbai. Projek tersebut popular dengan nama "Water Distribution Improvement Project" (WDIP). Cadangan tersebut dilampirkan dengan perjanjian jangka pendek dan panjang, dan cadangan akhir pula berserta idea meter air prabayar yang telah gagal dilaksanakan di banyak tempat di seluruh dunia. Dalam usaha memastikan rancangannya berjaya, MCGM telah meminta penyertaan masyarakat sivil dalam proses memperoleh persetujuan penduduk Mumbai.

Walau bagaimana pun, majoriti penduduk Mumbai telah menolak konsultasi tersebut dengan dakwaan bahawa konsultasi tersebut adalah sandiwara semata-mata untuk memperoleh persetujuan bagi penswastaan bekalan air di Mumbai.

Masyarakat sivil Mumbai kemudiannya telah membentuk Mumbai Pani (Air Mumbai) dan telah menuntut air dijadikan harta awam dan memastikan bekalan air bersih sampai keseluruh pelusok Mumbai terutamanya kawasan-kawasan bandar yang miskin. Kempen Mumbai Pani berjaya menghentikan rancangan penswastaan buat sementara waktu. Penduduk Mumbai sedar bahawa air adalah nadi kehidupan justeru itu air tidak wajar dijadikan komoditi sebaliknya harus dimiliki rakyat. Para aktivis di Mumbai telah berusaha keras untuk memastikan air tidak diswastakan dan supaya orang ramai memperoleh bekalan air yang bersih.

Di Malaysia pula, rakyat masih berdiam diri, masih menanti, masih memperhati, tatkala ancaman terhadap hak asasi ke atas bekalan air kian menjadi-jadi. Barangkali rakyat Selangor mengharapkan Menteri Besar Selangor berusaha menyelesaikan masalah ini, namun penyelesaian sebenar adalah di tangan rakyat sendiri. Kita mempunyai pilihan sama ada kita mahu syarikat-syarikat swasta terus merompak duit kita dan memberi khidmat yang tidak seberapa atau menuntut kembali hak asasi kita terhadap air. Slogan yang dijaja SYABAS, "Air Nadi Kehidupan" perlu diserapkan maknanya sama seperti slogan "1 Malaysia".

*Faisal Mustaffa da Lingswaran Singh ialah penulis bebas.

Tiada ulasan: