Selasa, 3 Ogos 2010

'Utusan Keadilan' pula di pasaran

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Edisi keempat akhbar tidak berkala terbitan Angkatan Muda Keadilan (AMK), 'Utusan Keadilan' mula diedarkan sejak semalam berikutan sambutan yang memberangsangkan tiga terbitan sebelum ini.

Artikel muka depan edisi kali ini mengenai cara pemerintahan ala fasis Umno/Barisan Nasional yang terdesak untuk mengekalkan kuasa dengan menyekat kebebasan media dan mencanangkan semangat kebangsaan yang bersifat perkauman.

Turut didedahkan kali ini mengenai laporan terbaru Perdagangan Dunia 2010 oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang menyatakan kadar kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia merudum sehinga 81 peratus pada 2009.

Di muka belakang 'Utusan Keadilan' pula memaparkan berita berhubung fitnah yang dilemparkan terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa membayar agensi media luar negara, Cable News Network, bagi menemuramah beliau.

Pendedahan kali ini menunjukkan Najib dilaporkan telah menggunakan dana awam sebanyak RM50,000 untuk mendapatkan liputan akhbar ketika beliau melawat Amerika Syarikat, April lalu.

Laporan muka belakang juga mengenai rekod hak asasi manusia di Malaysia yang semakin buruk di bawah pentadbiran Najib seperti mana yang disebut di dalam Laporan Hak Asasi Manusia 2009 oleh Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Manakala bahagian berita bergambar pula memuatkan laporan sekitar majlis malam seni tahan tanpa bicara pada 24 Julai lalu dan pelancaran Laporan Hak Asasi Manusia 2009 oleh Suaram yang dihadiri wakil kedutaan asing serta bekas tahanan ISA.

Edisi ketiga, 'Sinar Keadilan' yang diterbitkan minggu lalu dirampas pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Bagaimanapun, akhbar ini akan terus dikeluarkan sehingga KDN memberikan kelulusan permit bagi menerbit dan mencetak akhbar rasmi PKR, Suara keadilan.

Suara Keadilan digantung selepas akhbar itu menyiarkan artikel 'Felda Bankrap' sejurus sebelum tamat tempoh permit pada 30 Jun lalu.

Tiada ulasan: