Khamis, 19 Ogos 2010

Upko pertahan Dompok label Umno ‘halang’ kejayaan 1 Malaysia



Usaha mempromosikan konsep 1 Malaysia dikatakan menerima halangan daripade Umno. — gambar fail

KOTA KINABALU — Upko, parti komponen Barisan Nasional (BN), mempertahankan kenyataan Presidennya, Tan Sri Bernard Dompok mengenai kebimbangannya berhubung konsep 1 Malaysia, yang beliau membayangkan Umno menjadi halangan kepada usaha mempromosikan konsep 1Malaysia.

Setiausaha Agung Upko Datuk Wilfred Tangau berkata, adalah malang bagi Datuk Seri Salleh Said Keruak kerana tidak dapat “membaca nadi” penduduk Sabah dan tidak memahami apa yang cuba dikatakan oleh Dompok pada Ahad lalu.

“Sebenarnya isu konsep 1 Malaysia ini bukan saja difikir oleh Tan Sri Bernard seorang, tetapi oleh penduduk di peringkat akar umbi, termasuk pemimpin komponen Barisan Nasional yang lain.

“Kami sokong sepenuhnya apa yang dinyatakan oleh presiden kami ini,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tangau yang menggelar Salleh sebagai “kawannya” menambah pemimpin Umno itu tidak mendapat gambaran sebenar isu itu.

Ahad lalu, Dompok berkata: “Najib ada rancangan yang bagus untuk negara, 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.”

Bagaimanapun katanya, Umno menjadi halangan kepada usaha mempromosikan konsep 1 Malaysia.

Dompok dilaporkan berkata demikian semasa merasmikan Konvensyen UPKO Zon C (Penampang, Kota Kinabalu, Sepanggar dan Putatan) di Penampang.

Pada konvensyen tersebut, pemimpin bahagian Upko mengulangi rasa tidak puas hati berikutan permintaan pemimpin Umno untuk mendapatkan lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum termasuk satu kerusi yang disandang oleh Upko.

Mereka juga melahirkan rasa tidak puas hati dengan masalah pendatang tanpa izin di negeri itu yang sudah berlarutan sekian lama.

Namun semalam, Salleh menggambarkan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan berkata Dompok tidak patut mempersoalkan sama ada Umno memahami makna sebenar semangat 1 Malaysia atau sebaliknya.

Salleh, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan menegaskan Umno Sabah benar-benar memahami dan komited sepenuhnya terhadap konsep itu.

“Dan sebagai kawan, kini saya mahu soal Datuk Salleh, adakah kenyataan itu tidak bertanggungjawab?

“Atau adakah ia kenyataan atau fakta? Bukankah fakta apabila sesetengah NGO secara terang-terangan membantah sesetengah cadangan dalam Model Ekonomi Baru (MBE) hingga kerja-kerja Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) tertangguh dan kini formulasi program MBE itu diberi kepada Dato Idris Jala?” kata Tangau.

Tangau menambah, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga mahukan konsep 1 Malaysia diperjelaskan lebih lanjut.

Kata Tangau, sebagai pemimpin kanan partinya, Salleh tidak patut terlalu emosi sebaliknya mula bekerjasama untuk mengekalkan keharmonian dengan pasukan dalam BN.

Mengenai kenyataan Salleh bahawa adalah perkara biasa bagi pemimpin Umno secara terbuka meminta untuk bertanding di kawasan Parlimen Kota Kinabalu, Putatan, Ranau dan kawasan negeri di Tanjung Kapor serta Merotai, kata Tangau: “Bagi Upko, ia tidak normal.”

“Upko rasa permintaan itu tidak normal dan penuh dengan keangkuhan. Bayangkan parti komponen Melayu meminta untuk bertanding di kawasan Parlimen Kota Kinabalu yang didominasi kaum Cina dan dipegang oleh pembangkang? Adakah ia tidak ‘abnormal’?”

Jelas beliau, pihaknya tidak menunjukkan perasaan tidak senang hati sebab Umno sudah menyatakannya secara terang-terangan yang mereka berminat untuk mendapatkan kerusi yang diperuntukkan kepada Upko.

“Tetapi Upko lebih bimbang dengan imej BN gara-gara permintaan tidak patut oleh Umno.

“Kami amat bimbang dengan perkongsian kuasa dalam BN ini.

“Tun Mahathir memberi jaminan kepada Upko dalam ucapannya ketika merasmikan Kongres Upko Kedua bahawa Umno tidak akan sekali-kali bertanding lebih separuh daripada kerusi Parlimen dan negeri Sabah sebagai tanda komitmen kepada prinsip perkongsian kuasa dalam BN,” katanya.

Tiada ulasan: