Sabtu, 21 Ogos 2010

Tharmendran didakwa lagi, tiga tuduhan gubah wang haram

BERNAMA


Tharmendran terdahulu dituduh bersubahat mencuri dua enjin jet TUDM. — gambar fail

PETALING JAYA — Sarjan N. Tharmendran dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) didakwa lagi di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap tiga pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram sebanyak RM62,000.

Sebelum ini Tharmendran, 42, menghadapi pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Mahkamah Sesyen yang sama pada Jan lalu dan pertuduhan menerima harta awam secara tipu serta menerima harta curi di Mahkamah Tentera pada 2006.

Bagi pertuduhan pertama Tharmendran mengaku tidak bersalah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi pengeluaran wang berjumlah RM35,000 yang merupakan hasil aktiviti haram melalui akaunnya pada 25 Mac 2008.

Manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Tharmendran juga didakwa terhadap pertuduhan yang sama melibatkan RM23,000 dan RM4,000, pada 1 April 2008 dan 28 April 2008.

Kesemua pertuduhan itu dilakukan di Standard Chartered Bank Malaysia Berhad di Jalan USJ 10/1F, Subang Jaya.

Mahkamah membenarkan tertuduh dikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan itu selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Sementara itu, seorang pengarah sebuah syarikat pembekalan K. Rajandran Prasad, 38, turut mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen berasingan terhadap lima pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM437,319.50.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di HSBC Bank Malaysia Berhad, Wisma UEP, Jalan USJ 10/1A, Subang Jaya antara 18 April 2008 hingga 10 Jun 2008. Mahkamah membenarkan Rajandran diikat jamin dengan mengguna pakai jumlah jaminan terdahulu dalam kes menghapuskan enjin milik TUDM iaitu RM150,000.

Tharmendran dan Rajandran didakwa mengikut mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan kes kedua-dua tertuduh disebut semula 6 September depan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mouhammad Saifuddin Hashim Musaimi dan Mohd Haziq Razali manakala peguam bela N. Surendran mewakili Tharmendran dan Rajandran diwakili peguam Rejender Singh.

Pada 6 Januari lalu, Rajandran turut mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama terhadap pertuduhan dengan sengaja membantu menghapuskan barang curi milik TUDM itu.

Rajandran, didakwa dengan sengaja menghapuskan dua enjin milik TUDM, di alamat 49 Jalan TS 6/6 Taman Industri Subang, pada 30 April 2008, mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan

Tiada ulasan: