Isnin, 16 Ogos 2010

Tambang Bas Sekolah Mungkin Naik 10 peratus

TV SELANGOR

KUALA LUMPUR: Tambang bas dan van sekolah di seluruh negara terpaksa dinaikkan sekurang-kurang 10 hingga 15 peratus jika kerajaan mewajibkan pemandu kedua atau konduktor wanita.

Presiden Persekutuan Pengusaha Bas Sekolah Semenanjung Malaysia (PPBSSM), Tan Chui Leng, berkata kenaikan tambang tidak dapat dielak kerana pengusaha bas dan van sekolah menanggung peningkatan kos berikutan penguatkuasaan syarat baru itu.

Beliau berkata, beban kos tinggi itu meliputi perbelanjaan menghadiri kursus dan mendapatkan lesen konduktor, selain bayaran gaji mungkin mencecah lebih RM1,000, terutama di bandar.

“PPBSSM bukan tidak menyokong cadangan mensyaratkan pemandu kedua atau konduktor wanita kerana kami juga mahu memastikan keselamatan pelajar.

“Bagaimanapun, pelaksanaan cadangan ini akan meningkatkan kos yang menyebabkan tambang bas dan van sekolah terpaksa dinaikkan untuk menampung perbelanjaan tambahan itu.

“Kenaikan tambang itu mungkin lebih ketara bagi bas atau van sekolah berkapasiti rendah kerana kos terpaksa dibahagikan dengan bilangan penumpang yang sedikit.

“Diharap kerajaan dapat membantu seperti melalui pemberian subsidi jika peraturan itu dilaksana bagi meringankan beban ibu bapa.

“PPBSSM akan membincangkan perkara ini pada mesyuarat di Seremban, Sabtu, sebelum membawa sebarang pandangan diputuskan ke perjumpaan dengan pihak berkuasa nanti,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar baru-baru ini memetik Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Halimah Mohamed Sadique, sebagai berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pengangkutan, Polis Diraja Malaysia, Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional serta pertubuhan bas sekolah bagi membincangkan perihal perkhidmatan bas sekolah, minggu depan.

Halimah berkata, mesyuarat itu turut membincangkan cadangan mensyaratkan pemandu kedua atau konduktor wanita dalam bas dalam perkhidmatan berkenaan.

Cadangan itu disuarakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, baru-baru ini, bagi membendung rogol dan cabul terhadap pelajar yang dibawa bas atau van sekolah.

Tan berkata, pengusaha diwajib menyediakan konduktor bagi bas sekolah yang tiada pintu automatik tetapi peraturan itu sudah tidak relevan lebih 10 tahun lalu berikutan rata-rata bas sekolah kini dilengkapi pintu automatik.

Mengenai kejadian rogol dan cabul terhadap pelajar dibawa bas atau van sekolah yang mendapat liputan meluas media, beliau tidak menafikan ada ibu bapa mulai cemas mengenai keselamatan anak mereka.

“Kami memberi penjelasan kepada mereka dan setakat ini tiada yang membatalkan penggunaan perkhidmatan bas atau van sekolah,” katanya. - Berita Harian Online

Tiada ulasan: