Isnin, 2 Ogos 2010

Sila tunjuk MyKad: Ismail Sabri

BERNAMA

KOTA KINABALU - Warganegara Malaysia yang mempunyai kereta bernombor pendaftaran negara asing perlu menunjukkan kad pengenalan untuk membeli petrol RON95 di stesen minyak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran ini dibuat kerana terdapat ramai rakyat Malaysia terutama di Johor yang bekerja di Singapura memiliki kereta bernombor pendaftaran republik itu.

“Kita tahu ada yang ramai (rakyat) mendaftar kereta mereka di Singapura, dan berulang-alik antara Johor Bahru dan Singapura. Jadi mereka hanya perlu tunjukkan kad pengenalan di stesen minyak, kerana tujuannya adalah untuk menjual minyak RON95 hanya kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada media selepas merasmikan Coop Fest Zon Sabah 2010 di sini, semalam.

Bermula semalam, penjualan minyak petrol RON95 di semua stesen minyak seluruh negara hanya dibenarkan dijual kepada rakyat tempatan bagi memastikan subsidi minyak hanya untuk rakyat Malaysia sahaja, sementara bagi kenderaan asing, mereka hanya dibenarkan membeli minyak petrol RON97.

Beliau berkata, pegawai penguat kuasa akan ditempatkan di beberapa stesen minyak di kawasan sempadan untuk memastikan pematuhan larangan tersebut.

Di JOHOR BAHRU, tinjauan di beberapa stesen minyak sekitar bandar raya ini mendapati kebanyakan rakyat Singapura tidak menghadapi masalah mendapatkan bekalan minyak petrol, memandangkan kebanyakannya menggunakan petrol RON97 berbanding RON95.

Bagi suri rumah Noorini Adam, 35, dari Chua Chu Kang, Singapura yang dalam perjalanan ke Desaru, Kota Tinggi, berpendapat harga petrol yang dijual di negara ini masih murah berbanding di republik itu.

“Kita sambut baik langkah ini asalkan masih boleh beli minyak di sini,” katanya yang memasuki Malaysia dua minggu sekali.

Di KUANTAN, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pahang semalam, mula menjalankan pemeriksaan pematuhan larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan pendaftaran asing.

Pengarah pejabat itu, Mohd A Aruwan Ab Aziz berkata, pemeriksaan pematuhan itu yang berkuat kuasa semalam, dijalankan di sekitar bandar Kuantan selain meletakkan notis pemberitahuan mengenai larangan berkenaan.

“Jumlah stesen minyak berjenama di Pahang kini 188 stesen dengan 103 daripada stesen berkenaan mempunyai penjualan minyak RON 97 manakala selebihnya tidak menjual minyak jenis itu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Di BUKIT KAYU HITAM, Kedah, rata-rata pemilik kenderaan asing yang masuk ke negara ini melalui sempadan Malaysia-Thailand di sini, akur dengan larangan membeli petrol RON95 kepada mereka berkuat kuasa semalam.

Tiada ulasan: