Sabtu, 28 Ogos 2010

Selangor Kutip RM1 Bilion Pelaburan Dalam Tempoh Sebulan

Oleh Norasikin Samsi

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor mencatatkan pelaburan perindustrian dan jumlah projek perindustrian yang tertinggi di Malaysia dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata pelaburan yang diperolehi dalam tempoh tersebut membabitkan sebanyak 166 projek.

Menurut beliau, ia berdasarkan statistik terkini Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Mida) mengenai pelaburan perindustrian di Malaysia bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

"Statistik Mida itu menunjukkan bahawa negeri Selangor telah mencapai jumlah pelaburan perindustrian yang diluluskan sebanyak RM3.47 bilion bagi tempoh tersebut," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat exco di sini Rabu lalu.

Ahli Parlimen Seputeh itu juga berkata, sebanyak 166 jumlah projek yang diluluskan di Selangor dan angka berkenaan merupakan 36 peratus daripada jumlah projek bagi seluruh Malaysia.

Tambah beliau, selepas Selangor, Johor menduduki tangga kedua dengan 89 projek dan Pulau Pinang di tempat ketiga dengan 60 projek.

Katanya, daripada 166 projek perindustrian yang diluluskan di Selangor, 99 merupakan projek baru manakala baki 67 merupakan projek yang diperkembangkan.

Selangor juga telah mencapai jumlah peluang pekerjaan yang tertinggi dengan 10,614 pekerjaan.

Menurut Teresa, RM1.492 bilion atau 43 peratus daripada pelaburan di Selangor terdiri daripada pelaburan asing manakala RM1.981 bilion atau 57 peratus adalah pelaburan tempatan.

"Ini menunjukkan pelaburan tempatan amatlah penting bagi kerajaan negeri Selangor. Pelabur tempatan masih kekal melabur di Selangor di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat," katanya.

Di kalangan pelaburan asing di Selangor, Jepun membuat pelaburan tertinggi sebanyak RM371 juta, diikuti Singapura dengan RM357 juta dan Thailand RM250 juta.

"Bilangan projek perindustrian yang tinggi di Selangor itu menunjukkan ekonomi Selangor masih lagi mantap dan merupakan destinasi pelaburan yang paling menarik bagi pelabur asing dan tempatan," katanya.

Minggu lalu, statistik Mida menunjukkan bahawa negeri Selangor telah mencapai jumlah pelaburan perindustrian yang diluluskan sebanyak RM2.47 bilion bagi Januari hingga Mei sekaligus menempatkan Selangor negeri tertinggi di Malaysia.

Ini membuktikan Selangor di bawah pentadibran Pakatan Rakyat mampu meraih jumlah pelaburan sebanyak RM1 bilion dalam tempoh hanya sebulan.

Tiada ulasan: