Isnin, 23 Ogos 2010

Saifuddin tangguh jumpa Pemuda PAS


nasruddinhassan400px Oleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Pertemuan antara Dewan Pemuda PAS Pusat dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, bagi membincangkaan idea penglibatan mahasiswa dalam politik yang sepatutnya diadakan hari ini ditangguhkan ke satu tarikh lain.

Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan Al-Tantawi, penangguhan dimaklumkan oleh pembantu peribadi Saifuddin melalui panggilan telefon semalam.

Nasrudin berkata sebarang tarikh baru bagi pertemuan itu akan dimaklumkan pihak Saifuddin kelak.

"Saya dimaklumkan oleh pembantu peribadi melalui panggilan telefon semalam yang mengatakan pembatalan pertemuan itu.

"Ia berikutan Datuk Saifuddin kepenatan selepas urusan di luar negara semalam. Namun tarikh baru bagi pertemuan tersebut tidak dinyatakan oleh pihak Saifuddin" katanya yang dihubungi Free Malaysia Today.

Menurut beliau, jika dalam tempoh terdekat tiada sebarang maklum balas Saifuddin, pihaknya akan tetap menghantar memorandum tersebut.

Malah melalui memorandum itu juga membawa hujah serta alasan mengenai idea penglibatan politik oleh mahasiswa.

AUKU tutup mulut mahasiswa

Turut disertakan dalam memorandum itu, mengenai kajian penglibatan tokoh-tokoh terkenal seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Musa Hitam yang menyaksikan penubuhan AUKU itu.

Maka sudah tiba masa AUKU dikaji semula agar memberi peluang kepada mahasiswa berpolitik seterusnya membuka minda kepada persekitaran tersebut.

"Tengok dalam masa terdekat jika tiada maklum balas kita akan tetap hantar memorandum itu. Pertemua itu juga sebagai kunjungan hormat kepada Saifuddin.

"Melalui memorandum kami bawa sokongan kajian mahasiswa sebelum AUKU yang lahir seperti tokoh-tokoh politik; seperti Dr Mahathir, Musa dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hasilnya mahasiswa berfikiran terbuka.

"Namun selepas AUKU wujud mahasiswa yang ada sekarang ditutup mulut, disekat dalam memberikan idea dalam politik," jelasnya.

Katanya, memorandum itu sebagai input kepada Saifuddin itu dibawa ke perhatian Majlis Tertinggi Umno yang bakal bermesyuarat 27 Ogos ini.

Tiada ulasan: