Jumaat, 27 Ogos 2010

Raya: Kakitangan Selangor RM500, guru Kafa RM250

Harakahdaily

SHAH ALAM: Kakitangan Kerajaan Negeri Selangor akan menerima bayaran bantuan khas hari raya sebanyak RM500 sebagai persediaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bulan depan.

Menteri Besar, Tan Sri Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim berkata bayaran bantuan khas hari raya ini akan dibayar sebelum 1 Syawal kepada semua kakitangan kerajaan negeri kecuali kakitangan Gred JUSA ke atas.

Seramai 9,089 kakitangan awam akan mendapat manfaat daripada keputusan ini yang melibatkan kos pembayaran sebanyak RM4.5 juta.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan bayaran khas sebanyak RM250 kepada 5,297 guru Kelas Agama dan Fadhu Ain (Kafa) yang akan melibatkan pembayaran sebanyak RM1.3 juta.

Menteri Besar berharap bantuan Hari Raya ini dapat meringankan beban kakitangan awam untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri terutama mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai.

Menteri Besar juga menasihatkan kakitangan awam dan guru KAFA supaya bersederhana dalam segala hal dan berbelanja secara berhemah mengikut kemampuan serta keperluan.

Tiada ulasan: