Khamis, 5 Ogos 2010

Pengurusan Felda Turun Padang Jelaskan Isu Bankrap

BERNAMA

KEMAMAN: Pengurusan Felda mengambil inisiatif turun padang untuk menjelaskan keadaan sebenar berhubung dakwaan sesetengah pihak bahawa Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bankrap, kata Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) Felda, Abidin Abdul Rahman.

"Kita ingin menjelaskan kepada peneroka tentang perkara yang ditimbulkan itu, mungkin ada yang masih samar-samar, kita mahu semua 1.5 juta warga Felda seluruh negara jelas mengenainya," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Mesra 1Felda Wilayah Terengganu di Felda Kerteh 5, di sini, hari ini, beliau berkata warga Felda sebenarnya marah dengan tohmahan itu kerana mereka sendiri maklum mengenai kedudukan kewangan Felda yang masih mantap.

Katanya ini terbukti melalui pembayaran cukai sebanyak RM1.3 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam tempoh lima tahun sejak 2004, pemberian dividen sebanyak 14 peratus, malahan hasil daripada aktiviti di 300,000 hektar ladang memberi pulangan lebih RM1 bilion setahun.

"Ini samalah macam anak dara, masa tak pandai pakai bedak, tak pandai bergincu, orang tak pandang. Bila dah bersolek, ramailah yang berkenan," katanya.

Abidin berkata, tohmahan seperti itu amat tidak bertanggungjawab kerana boleh menjejaskan masyarakat Felda sendiri.

"Mungkin juga mereka yang membuat tuduhan ini berfikir cara lama, mereka nak tengok duit yang banyak, sedangkan Felda berbelanja untuk dapatkan pulangan yang akan dikembalikan juga kepada peneroka.

"Memang jumlah duit kita kurang tetapi bandingkan pula dengan aset kita yang bertambah, aset yang boleh berikan kita pulangan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Felda telah memperuntukkan sebanyak RM500 juta setahun untuk pendidikan generasi muda warga Felda menerusi Jabatan Inovasi dan Pembangunan Generasi Baru.

Pengarah jabatan itu, Faizoull Ahmad berkata jabatan berkenaan ditubuhkan Januari lalu memberikan tumpuan dari peringkat sekolah rendah hingga pengajian tinggi.

Tiada ulasan: